Isnin, 16 Disember 2019 | 8:39pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan defisit keyakinan yang menyelubungi rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China semalam.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.81 mata kepada 1,569.35 berbanding paras penutup 1,571.16 pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu bergerak antara paras 1,565.59 dan 1,573.41 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 453 berbanding 376, manakala 404 kaunter tidak berubah, 753 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.29 bilion saham bernilai RM1.76 bilion.

Seorang penganalisis berkata walaupun Rumah Putih mendakwa rundingan perdagangan dengan China berjalan lancar, namun rakan sejawatannya dari China masih berdiam diri.

“Mereka (AS) mungkin membatalkan tarif baharu tetapi sebahagian besar daripada tarif sebelum ini ke atas barangan China yang bernilai lebih daripada AS$360 bilion masih lagi kekal.

"Setakat ini, tiada hala tuju jelas tentang masa depan perjanjian perdagangan itu kerana fasa kedua rundingan mungkin ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya Presiden AS yang akan diadakan akhir tahun depan, yang akan memberi kesan lebih lama kepada pasaran,” katanya.

Dari segi teknikal, beliau berkata indeks itu akan terus diniagakan dalam fasa penstabilan, berlegar antara paras 1,560 dan 1,575, bergantung kepada faktor luaran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional turun 12 sen kepada RM13.06, Petronas Dagangan susut 14 sen kepada RM23.40, Dialog jatuh empat sen kepada RM3.40, IHH berkurangan lima sen kepada RM5.35 dan Kuala Lumpur Kepong jatuh 20 sen kepada RM24.50.

Dalam kalangan saham cergas, Ecovest turun dua sen kepada 88.5 sen, Iskandar Waterfront tidak berubah pada RM1.02 manakala TDM naik 3.5 sen kepada 32 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Panasonic Manufacturing meningkat RM2.82 sen kepada RM39.92, Petronas Gas naik 46 sen kepada RM17.40, manakala MISC dan QL kedua-duanya menokok 23 sen masing-masing kepada RM8.56 dan RM7.78; manakala kaunter rugi utama, F&N turun 76 sen kepada RM33.34, Dutch Lady susut 52 sen kepada RM48.98 dan Nestle berkurangan 30 sen kepada RM144.30.

Indeks FBM Emas turun 5.29 mata kepada 11,182.29, Indeks FBM Emas Shariah susut 4.31 mata kepada 11,830.66 manakala Indeks FBMT 100 jatuh 8.43 mata kepada 10,977.37.

Sementara itu, FBM Ace turun 42.59 mata kepada 4,950.34 manakala FBM 70 naik 6.65 mata kepada 14,025.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.23 mata kepada 15,234.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.51 mata kepada 152.65 dan Indeks Perladangan menokok 9.66 mata kepada 7,506.07.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.59 bilion saham bernilai RM1.60 bilion berbanding 2.20 bilion saham bernilai RM2.36 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 309.44 juta unit bernilai RM54.21 juta berbanding 348.96 juta unit bernilai RM50.27 bilion minggu lalu.

Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE naik sedikit kepada 387.94 juta bernilai RM101.86 juta berbanding 387.26 juta saham bernilai RM99.58 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 185.22 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (166.18 juta), pembinaan (367.89 juta), teknologi (135.69 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (42.62 juta), hartanah (236.08 juta), perladangan (171.19 juta), REIT (49.90 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (202.27 juta), penjagaan kesihatan (9.77 juta), telekomunikasi dan media (18.11 juta), pengangkutan dan logistik (27.54 juta) dan utiliti (25.55 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X