Rabu, 11 Disember 2019 | 7:29pm

Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, ditutup pada 4.1630/1660 berbanding dolar AS berikutan kekurangan petunjuk baharu, kata penganalisis.

Ahli Strategi Pasaran Axi Trader Asia Pasifik Stephen Innes berkata ringgit dan yuan dijangka diniagakan pada jajaran ketat menjelang rundingan antara AS dan China.

“Persidangan Kerja Ekonomi Pusat China merupakan risiko untuk dipantau esok, berikutan ia akan menetapkan tema dasar untuk 2020.

“Lebih banyak perbelanjaan fiskal daripada kerajaan China dapat membantu sentimen mata wang tempatan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ekonomi IQI Global Shan Saeed menjangka dolar AS terus lemah pada 2020, menyatakan mata wang AS itu mencapai paras tertinggi pada masa ini dan pasaran kewangan bimbang berikutan instrumen dasar di AS dan Eropah telah mencapai hadnya.

Pada penutup, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0613/0639 daripada 3.0610/0637 pada Selasa dan susut berbanding euro kepada 4.6139/6180 daripada 4.6105/6155 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia naik berbanding yen kepada 3.8298/8333 daripada 3.8330/8368 semalam dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4689/4745 daripada 5.4768/4816 sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X