Isnin, 9 Disember 2019 | 12:50pm

Saham Sime Darby Plantation menokok susulan pengumuman jual operasi Liberia

KUALA LUMPUR: Saham Sime Darby Plantation Bhd meningkat semasa sesi dagangan pagi ini susulan pengumuman penjualan operasi di Liberia.

Pada 11.43 pagi, saham Sime Darby Plantation menokok dua sen kepada RM5.30 dengan 1.67 juta saham bertukar tangan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Sime Darby Plantation berkata ia menjual keseluruhan pegangannya dalam Sime Darby Plantation Liberia Inc (SDPL) kepada Mano Palm Oil Industries (MPOI).

Ia berkata langkah itu diluluskan lembaga pengarah dan kerajaan Liberia juga bersetuju.

“Keputusan ini adalah sebahagian langkah penjanaan wang daripada aset semasa syarikat, termasuk penjualan aset yang tidak mencatatkan prestasi atau aset yang telah mencapai potensi nilai penuh untuk dijual,” menurutnya.

Perjanjian jual dan beli itu akan ditandatangani pada akhir tahun ini, dengan transaksinya akan selesai pada suku pertama tahun depan. - BERNAMA

Berita Harian X