Ahad, 8 Disember 2019 | 5:55pm
ANTHONY Loke

Timbang penyatuan untuk perkukuh industri pembinaan kapal - Loke

LONDON: Syarikat pembuatan kapal tempatan boleh menimbang penggabungan bagi mencapai skala ekonomi yang lebih baik dalam persekitaran yang mencabar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkembangan itu mendorong penggabungan mega dan pakatan antara kuasa besar dalam sektor terbabit di seluruh dunia, yang wajar dijadikan petunjuk oleh pemain domestik.

“Bagaimanapun, langkah ini mestilah keputusan industri, bukan kerajaan kerana penggabungan dan pengambilalihan sepatutnya berlaku secara semula jadi, kami (kerajaan) tidak mengambil tindakan atau keputusan untuk memaksanya.

“Kami (kerajaan) mengambil pendekatan secara manual,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Loke percaya bahawa pemain industri cukup bijak, terutama dalam mempertimbang aspek komersial bagi membuat keputusan sedemikian.

Beliau berkata demikian mengulas perjanjian yang ditandatangani antara Perbadanan Labuan dan anak syarikat Nam Cheong Ltd yang berpusat di Kuala Lumpur, Nam Cheong Dockyard, bagi memindahkan kegiatan fabrikasi dan pembinaan bangunan.

Loke menjelaskan, perjanjian itu adalah bagi memindahkan kegiatan fabrikasi serta pembinaan bangunan sedia ada di Batam, Indonesia dan China ke Labuan mulai 1 Januari depan dan Malaysia sebagai ekonomi terbuka mengalu-alukan pelaburan asing seumpamanya.

“Dari perspektif Malaysia, kerajaan dan industri perlu memastikan syarikat terus berdaya saing, anda harus menerima hakikat bahawa akan ada persaingan di pasaran dan kita tidak boleh melarikan diri daripadanya.

“Sudah ada dasar yang ditetapkan untuk melindungi kepentingan tempatan dan dari segi pegangan kepentingan serta pelesenan, saya yakin sudah mencukupi untuk menjaga dari segi kelangsungan hidup syarikat,” katanya.

Mengulas mengenai pelan induk perkapalan Malaysia, Loke berkata pelan tindakan serta penubuhan Majlis Pelabuhan dan Perkapalan Nasional (NSPC) adalah usaha berterusan yang menjadi pentas untuk kerajaan merumuskan pelan tindakan lebih baik dan mengambil maklum mengenai isu-isu dalaman industri itu.

“Ia juga pentas untuk semua pihak berkepentingan dalam sektor maritim untuk memberi input kepada kerajaan dan kami akan ada di sini untuk jangka panjang kerana anda tidak boleh mengharapkan perubahan dilakukan dalam jangka pendek,” katanya.

Loke turut menekankan bahawa pihaknya memerlukan maklum balas daripada pemain industri untuk menggerakkan industri terbabit terutama maklumat mengenai insentif yang diperlukan, bagi membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak insentif untuk memacu industri itu.

“Dengan adanya banyak input, kami boleh membincangkan lebih lanjut cara untuk meningkatkan kapal Malaysia dan kaedah untuk menambah saiz kapal.

“Ini tidak boleh dipaksa dan kerajaan hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara, oleh itu kita perlu sediakan insentif serta dasar lebih baik, yang mana NSPC hanya permulaan dan kami hanya bertemu dua atau tiga kali sebelum ini,” katanya.

Jumlah muatan industri perkapalan Malaysia meningkat dengan ketara kepada 12 juta kapasiti tan berat mati (DWT) pada 2011 daripada 1.87 juta DWT.

Perkembangan itu mengambil masa kira-kira 30 tahun dengan mengambil kira semua cabaran yang dihadapi industri perkapalan Malaysia dan kini ia merosot kepada kira-kira sembilan juta DWT disebabkan cabaran seperti kadar tambang rendah dalam sektor maritim.

Mengenai dana pengangkutan awam diuruskan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Loke menjelaskan tidak banyak permohonan diterima daripada industri perkapalan, sekali gus mendorong kerajaan menggiatkan perbincangan dengan bank itu untuk melihat cabaran yang dihadapi pemohon.

Katanya, rundingan turut diadakan dengan BPMB bagi melihat sama ada orang ramai dan pasaran memperoleh maklumat mencukupi atau terlalu banyak kerenah birokrasi sehingga tidak dapat dipenuhi pemohon atau syarat yang sukar dipenuhi oleh pemohon.

“Inilah isu yang perlu kita semak dari semasa ke semasa dan sudah pasti kami bekerjasama dengan BPMB untuk melihatnya, sejajar dengan dasar kerajaan.

“Kami ada jawatankuasa kecil NSPC bagi pembiayaan untuk perkapalan, isu ini dibincangkan pada peringkat jawatankuasa kecil dan kami berharap ahli majlis yang terdiri daripada pemain industri, akan menyebarkan maklumat mengenai dana itu.

“Kita ada wakil Persatuan Pemilik Kapal Malaysia sebagai ahli majlis, oleh itu wajarlah mereka bertindak balas,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X