Jumaat, 6 Disember 2019 | 6:43pm
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.86 mata atau 0.31 peratus untuk ditutup pada 1,568.44 daripada 1,563.58 semalam.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.86 mata atau 0.31 peratus untuk ditutup pada 1,568.44 daripada 1,563.58 semalam.

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi baik hari ini, seiring dengan kebanyakan pasaran serantau susulan keyakinan terhadap prospek perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China telah mendorong lebih banyak aktiviti belian ke dalam pasaran, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.86 mata atau 0.31 peratus untuk ditutup pada 1,568.44 daripada 1,563.58 semalam.

Indeks penanda aras dibuka 2.0 mata lebih rendah pada 1,561.58, paras terendah harian dan bergerak setinggi 1,569.01.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 497 berbanding 355, manakala 363 kaunter tidak berubah, 753 kaunter tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.49 bilion saham bernilai RM1.54 bilion daripada 2.39 bilion saham bernilai RM1.70 bilion pada Khamis.

Peniaga berkata, saham Asia meneruskan momentum meningkat hari ini, menjejaki sentimen positif di pasaran ekuiti global, susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump bahawa rundingan perdagangan dengan China mencatatkan kemajuan tanpa sebarang halangan.

Pelabur kekal yakin mengenai prospek perjanjian perdagangan AS-China walaupun laporan mengenai pengenaan tarif import baharu oleh AS diperbesar-besarkan, katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, pasaran akan terus tidak menentu hingga 15 Disember, apabila AS dijadual melaksanakan pusingan tarif yang baharu ke atas import China bernilai AS$156 bilion.

Di bursa tempatan, saham berwajaran tinggi Maybank susut tiga sen kepada RM8.50, Public Bank turun 18 sen kepada RM19.16, Petronas Chemicals kurang empat sen kepada RM7.10, manakala TNB menguncup 16 sen kepada RM13.42 dan CIMB menambah dua sen kepada RM5.28.

Bagi saham aktif, Khee San naik setengah sen kepada 48.5 sen, TDM menokok tiga sen kepada 27.5 sen manakala Impiana Hotels tidak berubah pada 2.5 sen dan Bumi Armada susut dua sen kepada 47.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 32.01 mata kepada 11,133.57, Indeks FBMT 100 menambah 28.58 mata kepada 10,939.70, FBM Ace menokok 39.19 mata kepada 4,884.33, Indeks FBM Emas Syariah merosot 71.05 mata kepada 11,723.97 serta FBM70 naik 14.13 mata kepada 13,849.08.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.33 mata kepada 150.02, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 47.49 mata kepada 15,222.21 dan Indeks Perladangan melonjak 127.80 mata kepada 7,361.31.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.62 bilion saham bernilai RM1.33 bilion daripada 1.70 bilion saham bernilai RM1.51 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 295.02 juta unit bernilai RM55.38 juta daripada 200.83 juta unit bernilai RM36.06 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 572.69 juta unit bernilai RM154.09 juta daripada 487.65 juta unit bernilai RM153.73 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 288.24 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (367.14 juta), pembinaan (145.39 juta), teknologi (124.69 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (36.90 juta), hartanah (116.09 juta), perladangan (170.16 juta), REIT (8.28 juta), dana tertutup (6.500), tenaga (293.72 juta), penjagaan kesihatan (14.37 juta), telekomunikasi dan media (30.76 juta), pengangkutan dan logistik (16.31 juta) serta utiliti (12.42 juta). -- BERNAMA

Berita Harian X