Khamis, 5 Disember 2019 | 6:54pm

Ringgit ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan harga minyak meningkat susulan penurunan stok simpanan di AS.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1680/1710 berbanding dolar AS daripada paras penutup semalam, 4.1750/1780.

Peniaga berkata, harga minyak meningkat semalaman berikutan laporan bahawa Pertubuhan Negara Pengeskport Petroleum (OPEC) dan rakan sekutunya akan melanjutkan had pengeluaran.

Setakat 6 petang, penanda aras minyak mentah global, Brent meningkat kepada AS$63.15 setong berbanding AS$60.82 setong semalam.

"Memandangkan Malaysia bergantung kepada pendapatan minyak dan gas, ia (peningkatan harga minyak) akan positif untuk ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding yen kepada 3.8253/8291 daripada 3.8391/8429 semalam, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0611/0638 daripada 3.0613/0639 semalam.

Ringgit susut berbanding pound kepada 5.4730/4786 daripada 5.4488/4544 semalam dan jatuh berbanding euro kepada 4.6227/6269 daripada 4.6226/6263 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X