Khamis, 5 Disember 2019 | 6:37pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau lain apabila aktiviti pengambilan untung sederhana muncul dalam kaunter produk pengguna, mengehadkan beberapa kenaikan terdahulu, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.65 mata atau 0.17 peratus untuk ditutup kepada 1,563.58, paras tertingginya hari ini, daripada paras penutup semalam, 1,560.93.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka naik 1.01 mata kepada 1,561.94 dan bergerak antara paras 1,560.13 dan 1,567.34 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 529 berbanding 305, dengan 365 kaunter tidak berubah, 770 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.39 bilion saham bernilai RM1.70 bilion daripada 2.13 bilion saham bernilai RM1.70 bilion semalam.

Peniaga berkata, kebanyakan saham Asia kukuh hari ini, memberi reaksi kepada berita bahawa Amerika Syarikat dan China kembali ke meja perundingan bagi perjanjian perdagangan awal, meskipun masih belum ada kepastian berhubung prospek gencatan perang tarif, yang rundingannya kini telah memasuki tahun kedua.

Menurutnya, sentimen pelabur juga mendapat rangsangan daripada laporan Bloomberg semalam yang mendakwa kedua-dua negara itu semakin hampir kepada perjanjian bagi beberapa pengurangan tarif dalam perjanjian perdagangan ‘fasa satu’, yang pada asalnya disasarkan dimeterai bulan ini.

Kenyataan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa rundingan dengan China berjalan sangat lancar juga menyediakan lagi rangsangan kepada aset berisiko.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan CIMB naik tiga sen masing-masing kepada RM8.53 dan RM5.18, Public Bank dan Petronas Chemicals meningkat empat empat sen setiap satu masing-masing kepada RM19.34 dan RM7.14, manakala TNB susut 14 sen kepada RM13.26.

Dalam kalangan kaunter cergas, Khee San meningkat 12.5 sen kepada 48 sen, TDM naik dua sen kepada 24.5 sen, Parlo menokok 2.5 sen kepada 14 sen manakala Sapura Energy susut setengah sen kepada 26.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 30.58 mata kepada 11,101.56, Indeks FBMT 100 naik 26.79 mata kepada 10,911.12, FBM Ace menambah 36.41 mata kepada 4,845.14, Indeks FBM Emas Shariah menokok 41.07 mata kepada 11,652.92 dan FBM 70 naik 68.11 mata kepada 13,834.95.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.33 mata kepada 149.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.93 mata kepada 15,269.70 dan Indeks Perladangan melonjak 110.31 mata kepada 7,233.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion saham bernilai RM1.51 bilion daripada 1.44 bilion saham bernilai RM1.53 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran turun kepada 200.83 juta unit bernilai RM36.06 juta daripada 283.59 juta unit bernilai RM52.66 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 487.65 juta unit bernilai RM153.73 juta daripada 412.56 juta unit bernilai RM118.79 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 312.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (269.85 juta), pembinaan (170.06 juta), teknologi (133.57 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (72.06 juta), hartanah (125.94 juta), perladangan (150.41 juta), REIT (12.04 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (366.47 juta), penjagaan kesihatan (12.73 juta), telekomunikasi dan media (33.73 juta), pengangkutan dan logistik (15.36 juta) dan utiliti (23.46 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X