Khamis, 5 Disember 2019 | 10:30am

Bursa Malaysia melantun semula untuk dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi sedikit pagi ini mendapat rangsangan daripada permintaan belian yang muncul semula dalam saham wajaran tinggi terpilih kerana harga rendah menarik pelabur untuk kembali ke dalam pasaran, kata peniaga.

Pada 9.22 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.48 mata kepada 1,562.41 daripada paras penutup 1,560.93 pada Rabu .

Pada pembukaan, indeks utama itu naik 1.01 mata kepada 1,561.94.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 256 berbanding 104, manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,365 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 304.20 juta saham bernilai RM124.81 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, saham di Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunannya semalam untuk mencari sokongan pada sekitar paras 1,560 meskipun ketidakpastian yang berterusan berhubung perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Bagaimanapun, pemulihan semalam boleh menjadi permulaan bagi saham untuk mencatatkan pengukuhan dalam tempoh terdekat ini kerana adanya sokongan.

“Pada masa yang sama, perkembangan terbaharu mengenai perjanjian perdagangan itu untuk mengelak tarif tinggi ke atas barangan China pada pertengahan bulan boleh membantu memulihkan semula minat belian dalam tempoh terdekat sejajar dengan kenaikan di banyak bursa luar negara semalaman,” kata firma penyelidikan itu.

Ini akan membantu mengekang penurunan ekuiti Malaysia ketika ini kerana lebih banyak sentimen positif boleh membawa kepada aktiviti membeli saham berharga rendah dalam tempoh terdekat.

“Dengan pegangan sokongan pada 1,560, paras ketahanan FBM KLCI kini ditambat pada 1,568-1,570 diikuti paras 1,580. Sementara itu paras sokongan masing-masing berada pada 1,556 dan 1,550,” kata firma itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.53, Public Bank meningkat 10 sen kepada RM19.40, Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM7.03, manakala TNB dan CIMB tidak berubah masing-masing pada RM13.40 dan RM5.15.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy naik setengah sen kepada 27.5 sen, Mudajaya meningkat 3.5 sen kepada 43 sen, Sarawak Cable menokok lima sen kepada 39.5 sen dan Solarvest menambah tiga sen kepada 90 sen.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 15.83 mata kepada 11,627.68, Indeks FBM Emas naik 20.54 mata kepada 11,091.52, FBM 70 menambah 60.07 mata kepada 13,826.91, Indeks FBMT 100 menokok 19.06 mata kepada 10,903.39 dan FBM Ace turun 9.99 mata kepada 4,798.74.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 13.21 mata kepada 7,136.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.44 mata kepada 15,262.21 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.58 mata kepada 148.78.

– BERNAMA

Berita Harian X