Rabu, 4 Disember 2019 | 7:35pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau, dengan pembelian pada saat akhir ke atas saham berwajaran tinggi terpilih telah mengehadkan penurunan awal, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.34 mata atau 0.09 peratus untuk ditutup pada 1,560.93, paras tertinggi hari ini, daripada 1,562.27 semasa akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 8.28 mata lebih rendah kepada 1,553.99 dan susut kepada paras terendah harian, 1,550.92 ketika awal dagangan hari ini sebelum meningkat semula.

Bagi pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 492 berbanding 339 manakala 378 kaunter tidak berubah, 760 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.13 bilion saham bernilai RM1.70 bilion daripada 2.34 bilion saham bernilai RM1.74 bilion pada Selasa.

Peniaga berkata, sebahagian besar pasaran saham Asia mencatatkan penurunan ketara hari ini berikutan kebimbangan dalam kalangan pelabur semakin meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan perjanjian perdagangan dengan China mungkin ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya 2020.

Berdasarkan tempoh kurang daripada dua minggu sebelum kenaikan tarif AS ke atas barangan China yang dijadualkan pada 15 Disember ini, pelabur mula mengalihkan wang mereka kepada aset selamat, katanya.

Di peringkat rantau, Nikkei 225 Jepun turun 1.05 peratus kepada 23,135.23, Indeks Hang Seng Hong Kong kurang 1.25 peratus kepada 26,062.56 manakala Indeks Straits Times Singapura susut 0.45 peratus kepada 3,158.82.

Di bursa tempatan, saham berwajaran tinggi Maybank turun satu sen kepada RM8.50, Public Bank kurang 16 sen kepada RM19.30, TNB merosot 38 sen kepada RM13.40, Petronas Chemicals meningkat enam sen kepada RM7.10 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.15.

Bagi saham aktif, Impiana Hotels tidak berubah pada 2.5 sen, Mudajaya menambah lima sen kepada 39.5 sen, Bumi Armada turun 1.5 sen kepada 48 sen manakala Sapura Energy kurang setengah sen kepada 27 sen.

Indeks FBM Emas turun 7.38 mata kepada 11,070.98, Indeks FBMT 100 menguncup 7.19 mata kepada 10,884.33, FBM Ace naik 46.38 mata kepada 4,808.73, Indeks FBM Emas Syariah menokok 4.26 mata kepada 11,611.85 dan FBM 70 turun 0.20 mata kepada 13,766.84.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri turun 0.04 mata kepada 149.36, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 9.95 mata kepada 15,242.77 dan Indeks Perladangan kurang 9.63 mata kepada 7,123.20.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.44 bilion saham bernilai RM1.53 bilion daripada 1.47 bilion saham bernilai RM1.54 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran turun kepada 283.59 juta unit bernilai RM52.66 juta daripada 287.14 juta unit bernilai RM57.28 juta pada Selasa.

Pasaran ACE pula mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 412.56 juta unit bernilai RM118.79 juta berbanding 580.88 juta unit bernilai RM142.0 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 258.59 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (234.96 juta), pembinaan (239.25 juta), teknologi (76.43 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (60.79 juta), hartanah (112.43 juta), perladangan (66.37 juta), REIT (11.65 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (292.39 juta), penjagaan kesihatan (20.99 juta), telekomunikasi dan media (31.84 juta), pengangkutan dan logistik (17.48 juta) serta utiliti (17.52 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X