Rabu, 27 November 2019 | 7:32am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Wall Street ditutup pada rekod tertinggi

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) menokok dan ketiga-tiga indeks utama Wall Street mencatat rekod penutupan tertinggi, ketika mana komen positif Presiden Donald Trump berhubung rundingan perdagangan mengatasi beberapa data ekonomi yang lebih lemah daripada jangkaan.

Trump berkata AS dan China hampir mencapai perjanjian pada fasa pertama, sambil turut menekankan sokongan Washington terhadap para penunjuk perasaan di Hong Kong, satu titik perselisihan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.

Indeks Dow Jones Industrial menokok 55.21 mata atau 0.2 peratus kepada 28,121.68.

S&P 500 naik 6.88 mata atau 0.22 peratus kepada 3,140.52.

Nasdaq Composite menambah 15.45 mata atau 0.18 peratus kepada 8,647.93.

Walt Disney Co menambah 1.30 peratus selepas laporan bahawa perkhidmatan penstrimannya mencatat purata satu juta pelanggan baharu setiap hari.

Saham syarikat itu membantu mengekalkan Dow Jones Industrial Average dengan menyumbang kira-kira 20 mata kepada kenaikan indeks.

Peningkatan harapan bagi perjanjian perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia, petunjuk ekonomi AS yang kukuh dan musim perolehan korporat suku ketiga yang sebahagian besarnya mengatasi jangkaan telah mendorong saham naik lebih tinggi.

Ketiga-tiga indeks utama kini mencatat rekod penutup tertinggi pada hampir lima daripada lapan sesi terakhir.

Turut menyokong kenaikan pasaran saham ialah langkah Rizab Persekutuan yang telah mengurangkan kadar faedah tiga kali tahun ini.

Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell berkata dasar monetari berada pada "kedudukan yang baik" untuk menyokong pasaran buruh yang kukuh.

Pelabur memantau tanda-tanda kesihatan pengguna bagi musim berbelanja hujung tahun.

Keyakinan pengguna turun untuk bulan keempat berturut-turut pada November tetapi tetap berada di paras yang mencukupi untuk menyokong perbelanjaan pengguna yang mantap, menurut data Selasa.

Laporan berasingan menunjukkan bahawa jualan rumah baharu dengan tidak dijangka jatuh pada Oktober, walaupun data bagi bulan sebelumnya disemak semula, dengan pembelian mencecah tahap tertinggi mereka dalam lebih 12 tahun.

Sejumlah 7.96 bilion saham bertukar tangan di Wall Street berbanding 7.12 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X