X
Selasa, 12 November 2019 | 10:47am

Senario harga minyak sawit tinggi berterusan hingga awal tahun depan

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka meneruskan aliran peningkatan selepas mencatat lonjakan lebih tiga peratus untuk ditutup pada RM2,628 satu tan semalam, paras penutup tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Harga komoditi utama itu mencecah paras tertinggi RM2,657 pada sesi dagangan tengahari dan kali terakhir ia mencecah paras berkenaan adalah pada 17 November 2017.

Penyelidik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa, berkata banyak faktor yang mempengaruhi aliran peningkatan MSM sejak awal Oktober yang mencatatkan lonjakan sebanyak 15 peratus kepada RM2,485 satu tan pada tempoh itu.

Beliau berkata, dari bacaan teknikal pasaran, aliran peningkatan MSM pada November sudah melepasi halangan psikologi pada RM2,600, sekali gus memberi ia akan terus mencatat paras tertinggi baru.

Katanya, situasi harga tinggi MSM ini dijangka berlanjutan sehingga suku pertama tahun hadapan dengan risiko penurunan yang kecil.

“Permintaan terhadap minyak sawit akan terus meningkat disebabkan penggunaan yang lebih tinggi terutamanya ketika menjelang perayaan Tahun Baru Cina dan kedatangan Ramadan serta Syawal.

“Ada beberapa faktor antaranya jangkaan pengeluaran yang lebih rendah pada bulan bermusim di Malaysia serta pengeluaran peruntukan biodiesel 45 peratus lebih tinggi untuk memenuhi mandat B30 di Indonesia.

“Selain itu berlaku juga pembelian saat akhir untuk menampung penghantaran bulanan, peningkatan pembelian menjelang kenaikan cukai eksport pada Januari, pembelian agresif daripada China serta peningkatan mendadak minyak sawit olein dan kacang soya,” katanya.

Sathia berkata, laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Oktober juga menunjukkan kenaikan harga jauh lebih tinggi daripada jangkaan dengan bekalan menurun 13.75 peratus selepas menjunam sebanyak 4.10 peratus kepada 2.348 juta tan atau 13.75 peratus rendah daripada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, jangkaan pasaran adalah untuk peningkatan marginal antara satu hingga 3.70 peratus, lebih kukuh daripada sasaran eksport 16.43 peratus kepada 1.641 juta tan.

Katanya, eksport ke benua Afrika, Turki, China dan Kesatuan Eropah membantu meningkatkan penghantaran pada Oktober.

“Pengeluaran menurun sebanyak 2.53 peratus kepada 1.795 juta tan berbanding jangkaan peningkatan pasaran sebanyak satu hingga 2.20 peratus.

“Pengeluaran adalah jauh lebih rendah daripada kenaikan purata lima tahun pada 4.10 peratus untuk Oktober. Pengeluaran yang lebih rendah pada Oktober akan dijadikan analisis untuk menilai semula anggaran pengeluaran tahun penuh antara 20.50 hingga 20.30 juta tan.

“Kurangnya pengeluaran dari Sarawak juga menyeret pengeluaran keseluruhan. Keadaan musim kering pada Ogos dan September serta lonjakan luar biasa pada separuh pertama tahun ini turut mengganggu kitaran,” katanya.

Pengeluaran pada Ogos hingga Oktober menyumbang 35 peratus daripada pengeluaran tahunan MSM, lebih baik daripada jangkaan yang menawarkan tinjauan menaik kepada harga yang sudah kukuh.

Peningkatan ketara harga MSM itu juga memberikan petanda positif kepada industri komoditi itu terutamanya kepada pekebun kecil.

Sathia berkata, pekebun kecil dapat menikmati faedah daripada peningkatan itu dalam dua bulan terakhir ini tetapi ia tidak mencerminkan keuntungan sepanjang tahun.

Beliau berkata, purata harga setakat tahun ini adalah pada RM2,150 dan ia masih lebih rendah daripada harga purata pada 2016, 2017 dan 2018.

“Dua bulan ini, harga MSM meningkat tetapi bermula Januari lalu, harga komoditi itu mencatatkan penurunan dan berada di paras yang rendah.

“Mereka perlu menanggung kos operasi sepanjang tahun yang tinggi seperti kos baja dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan PerniagaanPutra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata kenaikan harga MSM yang dijangka berterusan sehingga Disember akan memberi impak positif kepada pekebun kecil.

Kenaikan itu katanya dijangka berlarutan kerana ianya disebabkan beberapa faktor yang membantu kenaikan tersebut seperti kenaikan permintaan dari beberapa negara pengimport, pengeluaran minyak sawit yang merosot dan simpanan minyak sawit yang berkurangan.

“Selain itu perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China juga menyebabkan China mengimport lebih banyak minyak sawit dari sebelumnya.

“Promosi berterusan oleh kerajaan juga menyebabkan banyak negara lain turut membeli minyak sawit dari Malaysia,” katanya.

Berita Harian X