Selasa, 12 November 2019 | 9:25am

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi sedikit pagi ini disokong pembelian dalam kaunter tenaga, telekomunikasi dan yang berkaitan utiliti.

Bagaimanapun, peniaga berkata di pasaran yang lebih luas, sentimen masih waspada di tengah-tengah ketidakpastian berhubung kedua-dua rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan keadaan politik di Hong Kong.

Pada 9 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.86 mata kepada 1,612.01 berbanding 1,608.15 penutup Isnin.

Pada pembukaan, indeks utama itu dibuka 4.03 mata lebih tinggi pada 1,612.18.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter naik mengatasi kaunter turun sebanyak 114 berbanding 63 dengan 162 kaunter tidak berubah, manakala 1,654 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Sejumlah 45.34 juta saham bertukar tangan bernilai RM15.47 juta.

Terdahulu di Tokyo, pasaran sahamnya dibuka hampir mendatar pagi ini apabila peniaga berhati-hati memantau perkembangan perjanjian perdagangan AS-China dan pergolakan baharu di Hong Kong.

Indeks penanda aras Nikkei 225 naik 0.06 peratus atau 15.04 mata pada 23,346.88 pada awal dagangan, manakala indeks Topix lebih rendah turun 0.10 peratus atau 1.71 mata pada 1,702.32.

Yoshihiro Ito, ketua strategi di Okasan Online Securities dalam satu ulasan berkata, bahawa saham bertungkus lumus bangkit selepas "saham AS bercampur-campur, ketidakpastian berhubung perbincangan perdagangan AS-China, dan pergolakan di Hong Kong."

Di Tokyo, pembuat kereta adalah antara yang mencatat penurunan terbesar, dengan Honda turun 1.96 peratus kepada 3,138 yen, Toyota turun 0.55 peratus pada 7,885 yen, dan Nissan turun 0.31 peratus pada 705.2 yen. - BERNAMA/AFP

Berita Harian X