Rabu, 6 November 2019 | 7:52pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah di kebanyakan kaunter berkaitan indeks, susulan aktiviti pengambilan untung berterusan selepas mencatatkan kenaikan hampir 3.8 peratus dalam tempoh tiga minggu lepas, kata peniaga.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.22 peratus atau 3.49 mata lebih rendah kepada 1,603.25 berbanding 1,606.74 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks utama, bagaimanapun, dibuka 2.69 mata lebih tinggi pada 1,609.43 dan berlegar antara 1,609.64 dan 1,597.18 sepanjang hari.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 490 berbanding 333, manakala 405 kaunter tidak berubah, 748 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.70 bilion saham bernilai RM1.72 bilion daripada 2.6 bilion saham bernilai RM2.25 bilion semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pergerakan indeks pendaras itu dianggap sebagai kukuh untuk jangka sederhana.

'’Bulan November dan Disember secara tradisinya adalah memberangsangkan bagi KLCI. Kami mengesyorkan ia masa yang baik untuk membuat belian," katanya.

Beliau berkata, Wall Street terus tinggi disokong oleh perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang lebih pasti, ditambah dengan langkah penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan dan data ekonomi AS yang kukuh, FBM KLCI dijangka meneruskan aliran menaik dan mampu melebihi paras 1,600, dirangsang oleh kesan limpahan daripada kenaikan semalaman di pasaran saham AS.

“Kami menetapkan paras sokongan pada 1,600 mata diikuti dengan paras 1,570 mata. Namun, kami turut melihat kepada paras 1,660 mata sebagai paras rintangan segera dan paras rintangan seterusnya ditambat pada 1,700.

“Dalam pada itu, bursa tempatan dilihat memberangsangkan susulan perkembangan positif dalam pertikaian perdagangan dan siri penurunan kadar yang terajui AS. Ini dilihat telah memacu pasaran kewangan domestik ke tahap lebih tinggi dan telah menunjukkan beberapa hasil positif terhadap ekonomi,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM8.71, manakala Tenaga turun lapan sen kepada RM13.92, Public Bank susut enam sen kepada RM19.80 dan CIMB turun satu sen kepada RM5.32.

Bagi saham minyak dan gas, Petronas Chemicals merosot 10 sen kepada RM7.60, Petronas Gas turun 20 sen kepada RM16.42 dan Petronas Dagangan susut empat sen kepada RM23.70 berikutan kebimbangan bahawa permintaan akan menurun.

Bagi saham cergas, Velesto menokok 2.5 sen kepada 38.5 sen, Sumatec tidak berubah pada setengah sen dan MSports turun satu sen kepada setengah sen.

Petronas Gas menerajui saham mencatatkan kerugian tinggi, diikuti United Plantations yang turun 18 sen kepada RM25.00, dan Top Glove susut 13 sen kepada RM4.37.

Antara saham untung, Malaysia Airports melonjak 46 sen kepada RM8.50, F & N naik 24 sen kepada RM35.30 dan Nestle naik 20 sen kepada RM146.60.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.93 bilion saham bernilai RM1.53 bilion daripada 1.73 bilion saham bernilai RM2.00 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 258.98 juta unit bernilai R46.76 juta daripada 327.55 juta unit bernilai RM59.46 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 509.96 juta saham bernilai RM134.74 juta daripada 555.56 juta saham bernilai RM188.00 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 268.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (256.13 juta), pembinaan (78.74 juta), teknologi (137.44 juta), SPAC (nil), perkhidmatan kewangan (40.41 juta), hartanah ( 276.46 juta), perladangan (32.06 juta), REIT (11.45 juta), tertutup/dana (66,800), tenaga (737.21 juta), penjagaan kesihatan (25.06 juta), telekomunikasi dan media (21.25 juta), pengangkutan dan logistik (35.36 juta) dan utiliti (14.73 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X