Selasa, 29 Oktober 2019 | 12:27pm

Saham Sunway naik satu sen dipacu pengambilalihan tanah

KUALA LUMPUR: Harga saham pemaju hartanah, Sunway Bhd naik satu sen kepada RM1.70 pagi ini dipacu pengambilalihan tanah di Wangsa Maju yang diumumkan pada Jumaat lalu.

Tanah seluas 1.49 hektar bernilai RM36.97 juta itu, akan dibangunkan dengan projek kondominium 468 unit dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM300 juta.

Tapak itu sudah mendapat kelulusan arahan pembangunan dan terletak hanya kira-kira 200 meter daripada projek Sunway Avila sedia ada.

Dalam nota penyelidikan, RHB Research berkata pihaknya positif dengan pengambilalihan itu, mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Sunway pada harga sasaran tidak berubah RM1.95 sesaham.

“Berdasarkan kejayaan Avila (sudah dijual 90 peratus) dan kos tanah yang sesuai, kami percaya Sunway akan dapat meletakkan harga kompetitif bagi projek itu.

“Jualan daripada projek baharu ini sepatutnya akan menyumbang secara positif kepada jualan hartanah bagi tahun kewangan (FY) 2021-2022,” kata firma penyelidikan itu.

RHB Research juga mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY 2019-2021 berikutan projek di tanah baharu itu akan hanya dilancarkan pada separuh kedua 2021. - BERNAMA

Berita Harian X