Jumaat, 25 Oktober 2019 | 7:46am

Microsoft dan PayPal lonjak S&P 500, Nasdaq

NEW YORK: S&P 500 dan Nasdaq menokok untuk ditutup lebih tinggi berikutan laporan suku tahunan kukuh daripada beberapa syarikat teknologi, termasuk Microsoft Corp.

Namun, keputusan kewangan hambar 3M Co merencatkan kenaikan Dow Jones Industrial Average.

Saham Microsoft menokok 2.0 peratus ketika mana tinjauan gergasi teknologi bagi perkhidmatan pengkomputeran awan itu melangkaui jangkaan penganalisis, sementara saham PayPal Holdings Inc meningkat 8.6 peratus susulan unjuran pendapatan setahun penuh yang kukuh.

Microsoft dan PayPal adalah pemacu utama kepada kenaikan S&P 500 dan Nasdaq.

Saham 3M susut selepas unjuran jualan suku ketiga konglomerat perindustrian itu tersasar, manakala ia turut merendahkan unjuran keuntungan bagi setahun penuh.

Jualan syarikat itu di Amerika Syarikat (AS) susut 1.1 peratus, manakala jualan Asia Pasifik turun lima peratus berikutan pengeluaran industri yang perlahan.

Lebih 80 peratus daripada 168 syarikat S&P 500 yang melaporkan keputusan kewangan mengatasi anggaran keuntungan, menurut data Refinitiv.

Namun musim pendapatan itu juga mencerminkan tanda-tanda kelemahan ekonomi, kata Pengarah Urusan Amundi Pioneer Asset Management di Boston, John Carey.

"Secara keseluruhan, laporan pendapatan menyokong pandangan bahawa ekonomi berkembang perlahan," katanya.

Khususnya, keputusan 3M menunding kepada pertikaian perdagangan AS-China yang berlarutan, kata Ketua Strategi Pasaran TD Ameritrade di Chicago, JJ Kinahan.

"Ini menunjukkan kepada kita bahawa keadaan tarif terus menjadi perhatian utama syarikat dalam cara membelanjakan wang mereka," kata Kinahan.

Dow Jones Industrial Average susut 28.42 mata atau 0.11 peratus kepada 26,805.53, S&P 500 naik 5.77 mata atau 0.19 peratus kepada 3,010.29 dan Nasdaq Composite menambah 66.00 mata atau 0.81 peratus kepada 8,185.80.

Selepas loceng dibunyikan, saham Intel Corp dan Amazon.com Inc naik ketara berikutan keputusan syarikat itu. Saham Intel akhirnya naik kira-kira lapan peratus manakala saham Amazon ditutup susut sekitar sembilan peratus.

Saham Ford Motor Co susut 6.6 peratus selepas pengeluar kereta itu mengurangkan tinjauan keuntungannya bagi tahun ini.

Sebaliknya, saham Tesla Inc melonjak 17.7 peratus selepas pengeluar kereta elektrik itu melaporkan keuntungan suku tahunan yang mengejutkan.

Sejumlah 6.47 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.48 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X