Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:08am

Saham Tokyo dibuka rendah

TOKYO: Saham Tokyo dibuka lebih rendah pagi ini menyusuli penurunan ketara semalaman di Wall Street disebabkan laporan yang meruncingkan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Indeks penanda aras Nikkei 225 susut 0.91 peratus atau 197.50 mata kepada 21,390.28 pada awal dagangan.

Indeks Topix turun 0.80 peratus atau 12.77 mata pada 1,573.73.

"Saham AS susut dengan ketara memandangkan harapan untuk perbincangan perdagangan AS-China peringkat menteri merosot, dan saham Jepun dilihat menjejaki kejatuhan itu," kata penganalisis pasaran kanan Toshiyuki Kanayama di Monex dalam satu nota.

Washington hari ini berkata ia akan mengurangkan visa bagi pegawai-pegawai China sehingga Beijing menamatkan "penindasan" ke atas puak Uighur dan Muslim lain di rantau barat Xinjiang, sehari selepas mengenakan sekatan komersial.

Langkah itu mengundang kebimbangan berhubung prospek perbincangan perdagangan dengan Beijing minggu ini, kata penganalisis.

Di Tokyo, Nissan turun 0.62 peratus pada 656.7 yen selepas ia secara tidak diduga mengumumkan ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu; manakala pesaing Toyota naik 0.09 peratus pada 7,094 yen; dan Honda turun 0.34 peratus pada 2,714.5 yen. - AFP

Berita Harian X