Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:19am

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) merosot berikutan laporan berhubung perdagangan AS-China yang menjadikan pelabur lebih berhati-hati menjelang rundingan yang dijadualkan lewat minggu ini.

Satu laporan menyebut bahawa Beijing semakin keberatan untuk bersetuju dengan perjanjian perdagangan yang meluas dicadangkan Presiden Donald Trump, dan ini mempengaruhi sentimen pasaran.

Tetapi Penasihat Ekonomi Rumah Putih, Larry Kudlow, meredakan kebimbangan dengan berkata bahawa terdapat kemungkinan perunding perdagangan AS dan China dapat membuat kemajuan ketika mereka bertemu di Washington, dan mengatakan AS terbuka untuk melihat apa yang dicadangkan Beijing.

Saham diniagakan lebih tinggi buat seketika pada sebelah petang selepas wartawan Fox dalam ciapannya berkata bahawa kementerian perdagangan China berkata kerajaan China bersedia mengadakan perjanjian dengan AS pada sebahagian daripada rundingan.

Perunding perdagangan AS dan China melancarkan pusingan baharu rundingan Isnin bertujuan untuk menyelesaikan perang perdagangan antara kedua-dua negara yang berterusan semalam 15 bulan.

Rumah Putih secara rasmi mengesahkan bahawa rundingan peringkat tinggi yang membabitkan Naib Perdana Menteri Liu He, Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin akan bermula pada Khamis.

Dow Jones Industrial Average turun 95.7 mata atau 0.36 peratus untuk ditutup pada 26,478.02.

S&P 500 turun 13.22 mata atau 0.45 peratus kepada 2,938.79.

Nasdaq Composite turun 26.18 mata atau 0.33 peratus kepada 7,956.29.

Sejumlah 5.73 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.23 bilion purata 20 hari dagangan sebeleumnya. - Reuters

Berita Harian X