Jumaat, 4 Oktober 2019 | 6:31pm

Bursa Malaysia teruskan kejatuhan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga minggu ini pada paras rendah disebabkan aktiviti jualan berterusan sejak semalam ditengah-tengah data perdagangan negara lebih lemah dan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang semakin perlahan, kata peniaga.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.41 peratus atau 6.45 mata kepada 1,557.67 daripada 1,564.12 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks yang dibuka 0.23 lebih rendah pada 1,563.89, bergerak antara 1,551.96 dan 1,564.79 sepanjang dagangan hari ini.

Kedudukan pasaran secara menyrluruh agak seimbang dengan kaunter rugi hanya tinggi sedikit daripada kaunter untung sebanyak 409 berbanding 404, manakala 390 kaunter tidak berubah, 783 tidak diniagakan dan 31 lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.04 bilion saham bernilai RM1.60 bilion daripada 2.17 bilion saham bernilai RM1.45 bilion semalam.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata aktiviti pengambilan untung berterusan di bursa tempatan berikutan pelabur mahu mengukuhkan kedudukan mereka sebelum cuti hujung minggu dan pengumuman Belanjawan 2020 minggu depan.

“Ada kalangan pelabur bimbang bahawa penanda aras indeks tidak mampu mengekalkan paras sokongan dan mungkin terus menyusut sehingga ke paras terendah. Pasaran tempatan menyusut dengan ketara sepanjang sesi dagangan tiga hari lalu.

“Dari segi teknikal, kami jangka penurunan ketara hari ini adalah lanjutan jualan dari semalam, susulan prestasi Malaysia tidak seteruk sepertimana pasaran global yang lain yang mencatatkan penurunan besar-besaran pada Khamis,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, paras terendah dicatatkan FBM KLCI sebelum ini adalah pada 24 Ogos 2015, apabila berada pada paras 1,532.

Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM151.8 bilion pada Ogos 2019, menyusut sebanyak RM10.7 bilion atau 6.6 peratus berbanding bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.44, Tenaga turun enam sen kepada RM13.52, Public Bank tidak berubah pada RM19.28, PChem merosot 16 sen kepada RM7.31 dan IHH susut dua sen kepada RM5.65.

Bagi saham aktif, VSolar turun satu sen kepada 6.5 sen dan Sapura Energy susut setengah sen kepada 26 sen manakala Armada naik satu sen kepada 33.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 28.77 mata kepada 11,048.52, Indeks FBMT 100 merosot 32.27 mata kepada 10,874.33 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 19.21 mata pada 11,646.62.

Bagaimanapun, FBM 70 naik 11.60 mata kepada 13,806.48, namun FBM ACE merosot 46.24 mata kepada 4,509.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 81.95 mata kepada 14,997.39, Indeks Perladangan turun 68.30 mata kepada 6,567.98 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian susut 0.91 mata kepada 151.26.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 1.20 bilion unit bernilai RM1.42 bilion daripada 1.29 bilion unit bernilai RM1.31 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 397.17 juta bernilai RM84.79 juta daripada 368.30 juta bernilai RM72.87 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 445.78 juta saham bernilai RM91.45 juta daripada 511.62 juta saham bernilai RM69.47 juta pada hari Khamis.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 170.35 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (196.30 juta), pembinaan (95.27 juta), teknologi (156.62 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.86 juta), hartanah (80.01 juta), perladangan (20.09 juta), REIT (11.57 juta), tertutup/dana (10,100), tenaga (323.04 juta), penjagaan kesihatan (16.63 juta), telekomunikasi dan media (52.57 juta), pengangkutan dan logistik (27.88 juta), dan utiliti (17.56 juta). - BERNAMA

Berita Harian X