Selasa, 1 Oktober 2019 | 10:51am

Brent diniagakan AS$59.69 setong

SINGAPURA: Harga minyak mentah melonjak pada sesi dagangan awal Asia hari ini selepas pengeluaran di pengeluar terbesar minyak dunia susut pada suku ketiga, meskipun kebimbangan berterusan berhubung permintaan yang mengekalkan momentum harga.

Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk penghantaran Disember menokok 44 cent atau 0.7 peratus kepada AS$59.69 setong pada 0202 GMT.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) naik 39 cent atau 0.7 peratus kepada AS$54.46 setong.

Harga bulan ke hadapan bagi kedua-dua kontrak mencatatkan kejatuhan suku tahun terbesar pada Isnin, terjejas dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi global di tengah-tengah krisis perang dagang AS-China.

“Pasaran Asia memperlihatkan aktiviti pengambilan untung daripada dana jangka pendek dan pelabur meninjau saham murah,” kata Penganalisis Kanan Pasaran bagi Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley.

Harga minyak berkemungkinan kekal kukuh dengan purata Brent adalah sekitar AS$65.19 setong dan WTI iaitu AS$57.96 pada 2019, memandangkan permintaan membendung kejutan bekalan, demikian menurut kaji selidik Reuters.

Saudi Aramco memulihkan sepenuhnya pengeluaran kepada paras kapasiti sebelum serangan ke atas kemudahannya pada 14 September, kata ketua unit perdagangannya pada Isnin.

Arab Saudi mengeluarkan sekitar 9.78 juta tong sehari (bpd) pada Ogos.

- Reuters

Berita Harian X