Rabu, 25 September 2019 | 1:02pm

Saham China dan Hong Kong merosot selepas Washington-Beijing bertikam lidah

SHANGHAI: Saham di China dan Hong Kong merosot hari ini selepas Washington dan Beijing bertikam lidah tukar kata-kata sukar dan memalapkan harapan satu perjanjian perdagangan dicapai.

Indeks CSI300 turun 0.5 peratus kepada 3,880.26 mata pada akhir sesi pagi, sementara Indeks Komposit Shanghai turun 0.6 peratus kepada 2,968.25 mata.

Di Hong Kong, indeks Hang Seng merosot satu peratus kepada 26,031.92 mata, manakala Indeks Hong Kong China Enterprises susut 0.8 peratus kepada 10,193.29 mata.

Presiden Donald Trump membuat teguran tajam terhadap amalan perdagangan China dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan mengatakan beliau tidak akan menerima "perjanjian yang tidak baik" dalam rundingan perdagangan AS-China.

Diplomat utama China menyerang kritikan AS itu, mengatakan Beijing tidak berniat untuk "bermain Game of Thrones di pentas dunia" dan akan menghormati kepentingan AS, tetapi ia tidak akan tunduk kepada tekanan atau membenarkan gangguan dalam urusannya, termasuk berkaitan Hong Kong.

Pasaran A-share masih menghadapi risiko ketegangan perdagangan AS-China, sementara kekurangan berita baharu berhubung pelonggaran dasar juga membendung sentimen pelabur dalam jangka pendek, demikian menurut Wanlian Securities dalam laporannya. - Reuters

Berita Harian X