Selasa, 24 September 2019 | 7:36am

Wall Street ditutup mendatar

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup hampir tidak berubah, dengan kenaikan kecil dalam saham Apple tetapi diimbangi data ekonomi bercampur-campur yang meningkatkan lagi sikap berhati-hati pelabur di tengah-tengah perang perdagangan AS-China yang berpanjangan.

Apple Inc meningkat 0.5 peratus selepas badan pengawal selia perdagangan AS meluluskan 10 daripada 15 permintaan bagi pengecualian tarif oleh pengeluar iPhone itu.

Micron Technology Inc, yang membekalkan komponen kepada Apple, naik 0.9 peratus.

Pekerjaan AS dalam sektor perkhidmatan menyusut buat kali pertama dalam tempoh sembilan setengah tahun pada September, demikian menurut Indeks Pengurus Pembelian IHS Markit.

Data itu juga menunjukkan aktiviti perkilangan meningkat pada September, melampaui jangkaan.

Terdahulu, satu tinjauan menunjukkan kemelesetan sektor pembuatan semakin mendalam di Jerman, ekonomi terbesar Eropah.

"Persoalannya ialah sama ada kita menuju ke arah kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang. Sehubungan itu, semua data yang dikeluarkan semakin penting," kata Quincy Krosby, ketua strategi pasaran di Prudential Financial di Newark, New Jersey.

Pelabur juga berhati-hati berhubung perkembangan dalam rundingan perdagangan AS-China selepas delegasi pertanian China membatalkan lawatan ke Montana.

Dow Jones Industrial Average menokok 14.92 mata atau 0.06 peratus kepada 26,949.99.

S&P 500 turun 0.29 mata atau 0.01 peratus kepada 2,991.78.

Nasdaq Composite turun 5.21 mata atau 0.06 peratus kepada 8,112.46.

Jumlah dagangan di bursa AS adalah sebanyak 5.90 bilion saham, berbanding 7.1 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X