Khamis, 19 September 2019 | 7:30am

S&P 500 ditutup tinggi

NEW YORK: S&P 500 ditutup tinggi sedikit selepas Rizab Persekutuan mengurangkan kadar faedah sebanyak suku mata peratusan, sebagaimana yang dijangkakan, tetapi memberi isyarat bercampur-campur berhubung langkah seterusnya.

Sungguhpun menyatakan ekonomi terus berkembang dan kadar pengambilan pekerja kukuh, namun Rizab Persekutuan menyebut bahawa ‘ketidaktentuan’ berhubung tinjauan masa depan dan bertekad untuk ‘bertindak sesuai’ bagi mengekalkan pertumbuhan.

Rizab Persekutuan dijangka mengekalkan kadar faedah dalam jajaran baharu itu menjelang 2020, dan ini adalah berita kurang menggembirakan bagi pelabur yang mengharapkan pemotongan tambahan bertujuan menyokong penyusutan ekonomi global susulan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Saham dijual sejurus pengumuman Rizab Persekutuan itu tetapi pulih semasa Pengerusinya, Jerome Powell, mengadakan sidang media.

Beliau memberitahu pemberita Rizab Persekutuan bersedia untuk menjadi "agresif" jika perlu.

"Beliau melakukannya dengan baik menyampaikan pandangan bahawa ia adalah pelarasan pertengahan kitaran, tetapi jelas Rizab Persekutuan bersedia bertindak kalau perlu berbuat lebih banyak," kata Mike O'Rourke, ketua strategi pasaran di JonesTrading.

Dow Jones Industrial Average meningkat 0.13 peratus kepada 27,147.08 mata manakala S&P 500 naik 0.03 peratus kepada 3,006.73.

Nasdaq Composite turun 0.11 peratus kepada 8,177.39.

Enam daripada 11 sektor utama S&P utama meningkat, diterajui kenaikan 0.5 peratus dalam indeks utiliti S&P dan kenaikan 0.4 peratus dalam indeks kewangan.

Sejumlah 6.7 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.9 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X