Rabu, 18 September 2019 | 9:22am

Saham Tokyo dibuka rendah

TOKYO: Saham Tokyo dibuka lebih rendah dalam dagangan berhati-hati pagi ini ketika mana pelabur memantau hasil mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) lewat hari itu.

Indeks penanda aras Nikkei 225 susut 0.05 peratus atau 10.19 mata kepada 21,991.13 pada awal dagangan, manakala indeks Topix turun 0.32 peratus atau 5.19 mata pada 1,612.96.

"Selepas saham AS ditutup lebih tinggi sedikit dalam sesi yang dikuasai sikap tunggu dan lihat, pasaran Jepun dilihat bergerak dalam jarak sempit" menjelang keputusan mesyuarat dasar Rizab Persekutuan, kata Toshiyuki Kanayama, penganalisis pasaran kanan di Monex.

Rizab Persekutuan New York semalam mengepam berbilion dolar ke dalam pasaran kewangan susulan kekurangan tunai secara tiba-tiba memacu naik kadar faedah menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan, yang dijangka ahli ekonomi secara meluas akan menyaksikan satu lagi pemotongan.

"Bank Rizab Persekutuan New York terpaksa mengambil tindakan pada hari Selasa," kata Moya, sambil menambahkan bahawa ini bermaksud bank pusat AS mungkin perlu melakukan lebih daripada sekadar mengurangkan kadar faedah.

Sementara itu, kementerian kewangan Jepun berkata lebihan dagangannya yang sensitif politik dengan AS naik 3.8 peratus tahun ke tahun pada Ogos kepada 472 bilion yen (AS$4.37 bilion) kerana import terus menurun berbanding eksport.

Peningkatan lebihan dagangan dengan AS adalah kenaikan bulanan keenam berturut-turut, kata kementerian itu. - AFP

Berita Harian X