Rabu, 18 September 2019 | 7:39am

Wall Street dalam wilayah positif

NEW YORK: Wall Street ditutup lebih tinggi berikutan redanya impak susulan serangan hujung minggu ke atas kilang penapis minyak terbesar Arab Saudi, dan pelabur menanti pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

Saham ditutup kukuh dalam wilayah positif selepas bercampur-campur dalam kebanyakan sesi.

Pelabur kembali tenang selepas Presiden Donald Trump berkata beliau tidak mahu berperang dan Arab Saudi pula berkata ia akan memulihkan pengeluaran yang hilang pada akhir September.

"Orang ramai berpendapat ia akan mengambil masa berbulan-bulan untuk memulihkan semula pengeluaran, dan sekarang hanya mengambil masa berminggu.

“Memulihkan semula pengeluaran akan mengurangkan risiko gangguan yang lebih tinggi," kata Keith Buchanan, pengurus portfolio di GLOBALT Investments di Atlanta.

Rizab Persekutuan AS memuktamadkan mesyuarat dasar dua hari Rabu, di mana bank pusat itu dijangka menurunkan kadar faedah sebanyak suku peratusan, pengurangan kadar faedah kedua tahun ini.

Dow Jones Industrial Average menokok 0.12 peratus kepada 27,109.03 mata manakala S&P 500 naik 0.26 peratus kepada 3,005.61.

Nasdaq Composite menambah 0.4 peratus kepada 8,186.02.

Chipotle Mexican Grill Inc melonjak 3.2 peratus kerana ia menambah hidangan baharu ke dalam menu di AS buat kali pertama dalam tiga tahun.

Home Depot Inc turun 0.3 peratus selepas Guggenheim merendahkan penarafan rantaian kedai pembaikan rumah itu kepada "neutral" daripada "beli".

Sejumlah 6.8 bilion saham bertukar tangan menyamai purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X