Sabtu, 7 September 2019 | 2:41pm
Prospek ekonomi yang kukuh di peringkat global. - Foto hiasan

Prospek kukuh lonjakkan FBM KLCI ke paras 1,620 minggu depan

KUALA LUMPUR: Prospek ekonomi yang kukuh di peringkat global, serta permintaan lebih tinggi terhadap minyak sawit mentah (MSM) pada masa akan datang, dijangka melonjakkan Bursa Malaysia ke paras 1,620 minggu depan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata perkembangan positif rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan jangkaan permintaan tinggi terhadap MSM dari India akan menjadi antara pemangkin positif bagi peningkatan indeks tempatan minggu depan.

“Kami menjangkakan rangsangan daripada prestasi penutup Wall Street akan membantu dagangan pasaran tempatan dan Asia mencatatkan pergerakan lebih kukuh minggu depan memandangkan sentimen pelabur yang semakin baik susulan sentimen positif di Hong Kong serta rundingan perdagangan AS-China yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

“Kami optimis saham global termasuk Bursa akan dilonjakkan oleh Wall Street yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh satu bulan, di tengah-tengah keyakinan bahawa ketegangan geopolitik akan reda selepas AS dan China mengumumkan mereka akan menyambung semula rundingan perdagangan bulan depan,” katanya kepada Bernama.

India, pengimport minyak sawit bertapis terbesar dunia, pada masa ini mengenakan cukai import 40 peratus ke atas MSM dan 50 peratus bagi minyak sawit bertapis.

Bagaimanapun, penghantaran minyak sawit bertapis dari Malaysia dikenakan cukai pada 45 peratus susulan perjanjian antara negara itu dan Malaysia.

Nazri Khan berkata kenaikan levi akan mengurangkan perbezaan yang mencukupi bagi duti antara MSM dan minyak sawit bertapis dari Malaysia untuk penapisan India kepada 5.5 peratus daripada 11 peratus, menjadikan pembelian luar negara lebih menguntungkan.

Beliau memetik Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang menyatakan eksport minyak sawit bertapis Malaysia melonjak 727 peratus pada separuh pertama 2019 kepada 1.57 juta tan berbanding tempoh yang sama 2018.

“Selain itu, perang perdagangan AS-China yang berlarutan dilihat telah meningkatkan pelaburan dari AS ke dalam Malaysia berdasarkan data rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia,” katanya.

Dari segi teknikal, Nazri Khan berkata FBM KLCI telah meningkat semula dan kembali di atas paras sokongan psikologi 1,600 sekali gus menunjukkan prestasi kukuh pasaran saham tempatan adalah berdaya tahan berbanding sebaliknya.

“Secara keseluruhan, berdasarkan landskap teknikal semasa, kami berpendapat bahawa bursa tempatan masih dalam proses pemulihan. Sokongan kukuh adalah pada paras lingkungan 1,600 hingga 1,572 mata. Sebaliknya, rintangan segera kekal pada 1,620 dan 1,680 mata diikuti oleh ambang rintangan psikologi pada 1,700 mata,” katanya.

Pada Jumaat, pasaran tempatan ditutup tinggi disokong keyakinan yang lebih baik terhadap rundingan semula perdagangan AS-China.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 7.67 mata kepada 1,604.47 daripada 1,612.14.

Indeks FBM Emas kurang 67.38 mata kepada 11,281.12, Indeks FBMT 100 turun 69.97 mata kepada 11,120.66 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 85.76 mata kepada 11,826.29.

FBM 70 merosot 156.26 mata kepada 13,788.45 dan Indeks FBM Ace turun 30.82 mata kepada 4,457.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 70.85 mata kepada 15,479.17 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.42 mata kepada 149.10, manakala Indeks Perladangan susut 82.54 mata kepada 6,806.94.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 8.27 bilion unit bernilai RM6.34 bilion berbanding 10.48 bilion unit bernilai RM9.64 bilion, berikutan minggu dagangan yang lebih singkat.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 5.07 bilion saham bernilai RM6.29 bilion daripada 6.49 bilion saham bernilai RM6.28 bilion minggu lepas.

Waran mencatatkan jumlah dagangan 1.73 bilion unit bernilai RM396.75 juta berbanding 2.51 bilion unit bernilai RM561.85 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 1.48 bilion saham bernilai RM263.66 juta daripada 1.46 bilion saham bernilai RM347.37 juta.

- BERNAMA

101 dibaca
Berita Harian X