Jumaat, 6 September 2019 | 7:36am

Wall Street kembali dalam mod menaik

SAN FRANCISCO/BENGALURU: Saham Amerika Syarikat (AS) melonjak susulan jangkaan ketegangan perdagangan akan berkurang selepas Washington dan Beijing bersetuju untuk mengadakan rundingan peringkat tinggi bulan depan, sementara data ekonomi AS yang kukuh mengurangkan kebimbangan berhubung kelembapan domestik.

Selepas kegelisahan menyelubungi perang perdagangan yang memuncak mencetuskan penjualan pada akhir Julai dan awal Ogos, dan menjurus kepada spekulasi bahawa pasaran bulis sedekad lamanya sudah berakhir, S&P 500 sebahagian besarnya pulih dan kini kurang dua peratus daripada rekod tertinggi yang dicatat pada 26 Julai.

Indeks penanda aras itu meningkat 2.4 peratus dalam dua sesi sebelumnya.

China dan AS bersetuju untuk mengadakan semula perbincangan pada awal Oktober di Washington, meningkatkan pasaran apabila pelabur menjangkakan ketegangan akan reda antara dua ekonomi terbesar di dunia itu, yang memberi kesan kepada pertumbuhan global.

Tanda-tanda penambahbaikan dan kemerosotan dalam perang perdagangan AS-China, sering berdasarkan tweet dan komentar dari Trump, yang berkali-kali mencetuskan turun naik di Wall Street dalam beberapa bulan terakhir.

"Sama ada perbincangan berlaku atau tidak, kami akan melihat dan sama ada ia produktif, kami ragu-ragu, tetapi pasaran menyukainya," kata Tim Ghriskey, Ketua Strategi Pelaburan di Inverness Counsel di New York.

Dow Jones Industrial Average melonjak 1.41 peratus untuk ditutup pada 26,728.15 mata, manakala S&P 500 naik 1.30 peratus kepada 2,975.97.

Nasdaq Composite melonjak 1.75 peratus kepada 8,116.83.

Kira-kira 7.5 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.8 bilion saham purata 20 sesi dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X