Rabu, 4 September 2019 | 6:57pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau selepas ditutup lebih rendah pada Selasa, susulan unjuran ekonomi lebih baik telah mendorong aktiviti belian di kaunter produk dan perkhidmatan pengguna terpilih, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.37 mata kepada 1,599.89 semasa urus niaga ditutup selepas diniagakan antara 1,591.11 dan 1,600.91 sepanjang hari.

Barometer pasaran dibuka 2.45 mata lebih tinggi pada 1,593.97.

Peniaga berkata, pasaran saham Asia kebanyakannya melantun semula daripada kerugian awal, dipacu data positif yang menunjukkan peningkatan aktiviti sektor perkhidmatan di China pada bulan lepas.

Bagaimanapun, katanya, pelabur kekal bimbang dengan perkembangan baharu perbincangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, berikutan pegawai daripada kedua-dua negara mengalami kesukaran untuk mencapai persetujuan berhubung langkah akan datang selepas AS menolak permintaan China untuk menangguhkan tarif yang berkuat kuasa pada hujung minggu.

Awal hari ini, kebanyakan bursa serantau diniagakan lebih rendah berikutan penurunan di Walll Street selepas data pembuatan AS yang lemah telah mencetuskan kebimbangan akan berlaku kemelesetan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.72, Public Bank menokok 18 sen kepada RM20.26, Petronas Chemicals naik tiga sen kepada RM6.83 manakala TNB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM13.76 dan RM5.76.

Bagi saham aktif, Bumi Armada menokok 1.5 sen kepada 26.5 sen, Priceworth International naik satu sen kepada enam sen, NETX menokok setengah sen kepada 1.5 sen dan Vsolar susut setengah sen kepada 13 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 53.10 mata kepada 11,253.72, Indeks FBMT100 melonjak 50.52 mata kepada 11,092.35 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 64.99 mata kepada 11,787.04.

FBM Ace naik 24.73 mata kepada 4,467.30 dan FBM 70 melonjak 31.31 mata kepada 13,767.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 50.25 mata kepada 15,480.16, Indeks Perladangan meningkat 55.24 mata kepada 6,815.51, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.636 mata kepada 147.53.

Kedudukan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 479 berbanding 308, manakala 399 kaunter tidak berubah, 751 tidak diniagakan dan 12 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.49 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 2.26 bilion unit bernilai RM1.59 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.44 bilion saham bernilai RM1.50 bilion daripada 1.31 bilion saham bernilai RM1.42 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 620.60 juta unit bernilai RM140.88 juta daripada 476.08 juta unit bernilai RM126.87 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menguncup kepada 435.05 juta saham bernilai RM85.64 juta daripada 475.05 juta saham bernilai RM45.98 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 209.53 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (241.34 juta), pembinaan (75.57 juta), teknologi (121.89 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (41.34 juta), hartanah (112.51 juta), perladangan (14.21 juta), REITs (11.06 juta), dana tertutup (23,200), tenaga (359.99 juta), penjagaan kesihatan (17.06 juta), telekomunikasi dan media (183.26 juta), pengangkutan dan logistik (34.61 juta), dan utiliti (15.39 juta). -- BERNAMA

Berita Harian X