Rabu, 4 September 2019 | 7:47am

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) merosot apabila pelabur bimbang akan prospek pertumbuhan global selepas data menunjukkan aktiviti perkilangan AS menyusut pada Ogos buat kali pertama sejak 2016, manakala AS dan China saling mengenakan tarif baharu ke atas satu sama lain pada hujung minggu.

Pelabur melarikan diri daripada aset yang lebih berisiko dan ketiadaan tarikh untuk menyambung semula rundingan AS-China melemahkan harapan untuk mencapai penyelesaian dalam tempoh terdekat.

Menambahkan lagi kebimbangan, Institut Pengurusan Pembekalan (ISM) berkata indeks aktiviti perkilangan negara menurun kepada 49.1, berbanding bacaan 51.1 yang dianggarkan penganalisis yang ditinjau Reuters.

"Ia adalah berita buruk di atas berita buruk," kata Alec Young, pengarah penyelidikan pasaran global di FTSE Russell di New York.

Beliau juga memetik ketidakpastian yang semakin meningkat sekitar Brexit sebagai turut membimbangkan pelabur.

Ahli parlimen British mencetuskan undi yang membolehkan mereka menghentikan Boris Johnson daripada meneruskan ‘no-deal Brexit’, yang mana ia kemudiannya berkemungkinan mendorong Johnson membubarkan parlimen dengan mengadakan pilihan raya awal.

Dow Jones Industrial Average jatuh 285.26 mata atau 1.08 peratus kepada 26,118.02.

S&P 500 turun 20.19 mata atau 0.69 peratus kepada 2,906.27.

Nasdaq Composite turun 88.72 mata atau 1.11 peratus kepada 7,874.16.

Industri sensitif perdagangan turun 1.4 peratus, menerajui kejatuhan terbesar dalam kalangan 11 sektor utama S&P.

Saham Boeing Co, jatuh 2.7 peratus, penyumbang terbesar kepada penyusutan Dow.

Sejumlah 6.72 bilion saham bertkar tangan berbanding 6.99 bilion purata 20 sesi dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X