Selasa, 27 Ogos 2019 | 10:54am

Saham Asia naik, jejaki pasaran global

TOKYO: Asia menjejaki kenaikan pasaran global lain hari ini sementara aktiviti jualan besar-besaran bon aset selamat mengambil isyarat pertikaian perdagangan Sino-Amerika Syarikat (AS yang mungkin reda dan membantu memulihkan keyakinan pelabur selepas ketidaktentuan pada sesi sebelumnya.

Menyokong persekitaran pasaran adalah langkah Presiden AS, Donald Trump yang memberi petanda kemungkinan memeterai perjanjian perdagangan dengan China dan berkata beliau percaya Beijing ikhlas dalam hasratnya untuk mencapai persetujuan.

Pasaran global memulakan minggu tidak menentu susulan tarif baru dari dua ekonomi terbesar di dunia.

Indeks meluas MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar China naik 0.2 peratus selepas susut 1.3 peratus pada sesi sebelumnya.

KOSPI Korea Selatan menambah 0.8 peratus dan Nikkei Jepun menokok satu peratus.

Pasaran ekuiti mungkin mendapat daya tarikan buat masa ini tetapi prospek jangka panjang untuk aset risiko, namun menerima kesan negatif berulang kali oleh kebimbangan perdagangan dan pasaran kekal tidak menentu.

“Masih terdapat unsur ketidakpastian besar mengenai pertikaian perdagangan AS-China. Masih sukar untuk meramalkan penyelesaian, dan ini akan terus menimbang sentimen pasaran ekuiti,” kata Ketua Jepun FX dan Ahli Strategi Ekuiti di Bank Of Amerika Merrill Lynch, Shusuke Yamada.

- Reuters

Berita Harian X