Rabu, 21 Ogos 2019 | 7:52am
Saham kewangan menerajui penurunan di Wall Street untuk menamatkan rali tiga hari. - Foto AFP
Saham kewangan menerajui penurunan di Wall Street untuk menamatkan rali tiga hari. - Foto AFP

Saham kewangan tarik turun Wall Street

NEW YORK: Saham kewangan menerajui penurunan di Wall Street untuk menamatkan rali tiga hari ketika mana pelabur menunggu komen daripada Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell Jumaat ini.

Indeks kewangan S&P 500 turun 1.4 peratus.

Sebelum sesi Selasa, stok Amerika Syarikat (AS) pulih sebahagian besar penyusutan daripada penjualan ketara Rabu, yang dicetuskan oleh penyongsangan garis lengkung pulangan bon Perbendaharaan dua tahun dan 10 tahun, yang dikaitkan dengan amaran kemelesetan akan berlaku.

Laporan usaha rangsangan yang dilakukan di China dan Jerman, bersama-sama dengan garis lengkung pulangan bon yang kembali kepada asal, membantu mengurangkan kebimbangan kemelesetan.

Pelabur berkata, mereka tidak sabar menanti Powell Jumaat ini di Jackson Hole bagi mendapat lebih banyak petunjuk berhubung dasar monetari dan kadar faedah.

Dow Jones Industrial Average susut 173.35 mata atau 0.66 peratus kepada 25,962.44.

S&P 500 turun 23.14 mata atau 0.79 peratus kepada 2,900.51.

Nasdaq Composite jatuh 54.25 mata atau 0.68 peratus kepada 7,948.56.

Saham Netflix Inc susut 3.4 peratus selepas Walt Disney Co mengumumkan perkhidmatan penstrimannya akan dilancarkan di Kanada dan Belanda pada November.

Saham Facebook Inc jatuh 1.3 peratus kerana syarikat itu berkata ia mengetepikan dasarnya untuk membolehkan pengguna melihat dan mengawal data yang dikongsi oleh aplikasi dan laman web lain dengan rangkaian sosial untuk meningkatkan pengiklanan yang disasarkan.

Jumlah dagangan pada bursa AS berjumlah 5.75 bilion saham, berbanding 7.56 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X