X
Jumaat, 16 Ogos 2019 | 9:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Saham Tokyo dibuka rendah

TOKYO: Saham Tokyo dibuka lebih rendah hari ini, berlegar sekitar tahap paling rendah tahun ini.

Penanda aras Nikkei 225 merosot 0.35 peratus atau 71.86 mata kepada 20,333.79 pada awal dagangan manakala indeks Topix turun 0.35 peratus atau 5.14 mata pada 1,478.71.

Saham menerima tekanan "di sebalik kebimbangan semakin meningkat berhubung ekonomi global di tengah-tengah perang perdagangan AS-China yang semakin memuncak," kata Mizuho Securities dalam satu nota.

Dolar Amerika Syarikat (AS) mencecah 106.07 yen pada awal dagangan Asia, berbanding 106.10 yen di New York dan 105.91 yen di Tokyo hari ini.

Di Tokyo, pengeksport berkaitan China adalah antara yang mencatat penurunan, dengan pengeluar robot perindustrian Fanuc turun 1.21 peratus pada 17,845 yen dan pengeluar peralatan elektronik Rohm susut 1.44 peratus pada 7,510 yen.

Pengendali pakaian kasual Uniqlo, Fast Retailing, turun 0.89 peratus pada 61,880 selepas laporan bahawa beberapa pengguna Korea Selatan memboikot produknya di tengah-tengah perang dagangan Tokyo-Seoul yang berkait dengan isu sejarah. - AFP

Berita Harian X