Selasa, 16 Julai 2019 | 8:01am

Indeks S&P ditutup hampir mendatar

NEW YORK: Indeks penanda aras S&P 500 ditutup dengan mencatat perubahan kecil, bergerak antara wilayah positif dan negatif sepanjang sesi selepas Citigroup Inc memulakan musim perolehan dengan laporan suku tahunan yang bercampur-campur.

Bank itu melaporkan keuntungan yang lebih baik daripada yang dijangkakan tetapi turut mencatat penurunan marjin faedah bersihnya.

Penyusutan marjin faedah bersih mencetuskan kejatuhan dalam saham bank lain disebabkan kebimbangan ia menandakan keuntungan lebih rendah merentas industri ketika mana kadar faedah berkurangan.

Walaupun saham Citigroup memadam hampir semua penyusutan, ia ditutup hanya 0.1 peratus lebih rendah, indeks perbankan S&P 500 merosot 1.0 peratus.

Saham JPMorgan Chase & Co, Goldman Sachs Group Inc dan Wells Fargo & Co, semuanya bersedia untuk melaporkan keputusan kewangan hari ini, merosot lebih daripada satu peratus.

Akibatnya, saham kewangan turun 0.5 peratus dan memberi kesan kepada S&P 500.

Bagaimanapun, kenaikan dalam saham teknologi dan penjagaan kesihatan mengimbangi penyusutan dalam saham kewangan.

Dow Jones Industrial Average menokok 27.13 mata atau 0.1 peratus kepada 27,359.16.

S & P 500 naik 0.53 mata atau 0.02 peratus kepada 3,014.3.

Nasdaq Composite menambah 14.04 mata atau 0.17 peratus kepada 8,258.19.

Sejumlah 5.39 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.69 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X