Selasa, 25 Jun 2019 | 2:34pm
Pengerusi FGE, Dr Fereidun Fesharaki. - NSTP/Salhani Ibrahim
Pengerusi FGE, Dr Fereidun Fesharaki. - NSTP/Salhani Ibrahim

Harga minyak dijangka AS$65-AS$75 setong separuh kedua 2019

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah dunia dijangka berlegar antara AS$65 kepada AS$75 setong pada separuh kedua tahun ini, demikian kata Pengerusi FGE, Dr Fereidun Fesharaki.

FGE - FACTS Global Energy adalah peneraju kumpulan perunding yang memberi tumpuan kepada pasaran minyak dan gas di Timur Suez, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dengan pejabatnya berada di London, Singapura, Dubai, Hawaii, Beijing, Yokohama, dan Perth.

Fesharaki berkata, jika konflik geopolitik terus meningkat, harga komoditi itu berpotensi meningkat lebih tinggi berbanding paras harga yang diunjurkan itu.

Beliau berkata, permintaan minyak dalam jangka pendek adalah lemah berikutan kebimbangan kelembapan, perang perdagangan AS-China, pertumbuhan perlahan ekonomi benar.

“Pada Disember 2016, pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC membantu mengukuhkan harga minyak. Kemudian mereka melonggarkan pengurangan dan harga jatuh.

“Sekali lagi, pada Disember 2018, mereka bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran dan harga kembali pulih. Kini pada akhir Jun, pasaran dilihat hampir seimbang,” katanya pada Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-20 di sini, hari ini.

Dalam beberapa tahun akan datang, Fesharaki mengunjurkan harga minyak mentah dunia akan berlegar pada paras antara AS$60 dan AS$70 setong.

Mengulas lanjut mengenai permintaan minyak, beliau berkata, tanpa mengambil kira keruntuhan ekonomi, pertumbuhan permintaan bagi minyak adalah kukuh sekitar satu juta tong sehari.

“Menjelang akhir 2020, pertumbuhan permintaan akan perlahan secara ketara kepada sekitar 600,000-700,000 tong sehari. Menjelang 2030, pertumbuhan perlahan semakin ketara kepada kira-kira 300,000 tong sehari terutamanya bahan api jet dan nafta.

“Permintaan petrol dan diesel akan memuncak menjelang awal 2030 dan mula berkurangan secara beransur-ansur selepas itu,” katanya.

Setakat 1.31 petang hari ini, harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$64.34 setong sementara minyak mentah AS, WTI berada pada paras AS$57.39 setong.

Berita Harian X