Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:49pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini seiring dengan prestasi komoditi yang bertambah baik seperti penanda aras minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah.

Saham Petronas Chemicals meningkat sebanyak 19 sen kepada RM8.56 manakala Sime Darby Plantation naik 18 sen kepada RM4.96.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.80 mata atau 0.41 peratus untuk ditutup kepada 1,682.23 berbanding paras penutup 1,675.43 pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka rendah 3.91 mata kepada 1,672.24 pagi ini dan bergerak antara paras 1,672.09 dan 1,682.23 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 474 berbanding 338, manakala 403 kaunter tidak berubah, 672 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Bagaimanapun, jumlah dagangan turun kepada 2.23 bilion unit bernilai RM3.05 bilion daripada 2.27 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Khamis.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan menongkah arus berbanding aliran serantau untuk ditutup tinggi berikutan sumber semula jadinya yang besar.

“Ketika beberapa bursa serantau lain bergelut untuk bergerak seiring dengan kerancakan di Wall Street, Bursa Malaysia, sebagai pasaran defensif menerima sokongan belian yang diterajui oleh produk perindustrian dan perkhidmatan dan perladangan,” katanya sambil menambah kali terakhir indeks itu mencecah paras 1,682.23 adalah pada Februari tahun ini.

Hari ini, minyak mentah Brent meningkat 0.51 peratus kepada US$64.78 setong di tengah-tengah kebimbangan konfrontasi tentera antara Tehran dan Washington.

Di dalam negara, duti eksport bagi minyak sawit mentah dikekalkan pada sifar peratus bagi Julai dalam usaha meningkatkan eksport minyak sawit dan berkembang ke pasaran baharu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.94, Public Bank turun dua sen kepada RM23.06 manakala Tenaga meningkat dua sen kepada RM13.90.

Dalam kalangan saham cergas, pengeksport sarung tangan CE Technology Bhd, yang memulakan dagangan sulungnya di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia menyaksikan sahamnya meningkat sebanyak lima peratus kepada 29 sen, Iskandar Waterfront naik enam sen kepada RM1.10 dan Ekovest meningkat satu sen kepada 85.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 63.23 mata kepada 11,849.51, Indeks FBMT 100 naik 63.45 mata kepada 11,704.01 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 77.66 mata kepada 12,210.42.

FBM 70 melonjak 145.50 mata kepada 14,699.10 dan FBM Ace meningkat 35.42 mata kepada 4,397.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 54.56 mata kepada 16,746.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.6 mata kepada 162.12 dan Indeks Perladangan menokok 48.79 mata kepada 7,019.54.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.5 bilion saham bernilai RM2.85 bilion daripada 1.36 bilion saham bernilai RM2 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turun kepada 450.77 juta unit bernilai RM98.29 juta berbanding 540.16 juta unit bernilai RM110.51 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 275.88 juta saham bernilai RM96.62 juta berbanding 362.92 juta saham bernilai RM58.17 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 214.87 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (190.74 juta), pembinaan (171.34 juta), teknologi (130.93 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.98 juta), hartanah (177.45 juta), perladangan (34.72 juta), REITs (24.09 juta), dana tertutup (100), tenaga (299.76 juta), penjagaan kesihatan (34.90 juta), telekomunikasi dan media (61.66 juta), pengangkutan dan logistik (37.90 juta) dan utiliti (38.60 juta).

- BERNAMA

Berita Harian X