Selasa, 18 Jun 2019 | 7:45am

Wall Street ditutup lebih tinggi

NEW YORK: Wall Street menokok lebih tinggi disokong oleh Facebook, Amazon dan Apple, ketika mana pelabur menunggu mesyuarat Rizab Persekutuan yang dijangka menggariskan dasar bagi pemotongan kadar faedah lewat tahun ini.

Bank pusat Amerika Syarikat (AS) itu dijangka mengekalkan kos pinjaman tidak berubah pada mesyuarat dasar dua hari bermula Selasa, tetapi kenyataannya akan memberi gambaran berhubung kesan perang perdagangan AS-China, gesaan Presiden Donald Trump untuk pengurangan kadar faedah dan data ekonomi yang lebih lemah.

Dengan pelabur menjangkakan penurunan kadar faedah pada awal Julai, indeks S&P 500 meningkat lima peratus bulan ini selepas jatuh pada Mei disebabkan kebimbangan perang perdagangan AS-China.

Jawatankuasa penetapan kadar faedah Rizab Persekutuan akan mengeluarkan kenyataan pada 2 petang waktu New York (1800 GMT) Rabu, dengan Ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell, mengadakan sidang akhbar sejurus selepasnya.

Dow Jones Industrial Average ditutup 0.09 peratus lebih tinggi pada 26,112.53 mata.

S&P 500 juga naik 0.09 peratus untuk ditutup pada 2,889.67.

Nasdaq Composite menambah 0.62 peratus kepada 7,845.02.

Sejumlah 5.67 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.77 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X