Isnin, 17 Jun 2019 | 9:49am
- Gambar hiasan

Ketegangan AS, Iran pacu Brent AS$62.28 setong

TOKYO: Harga minyak menokok hari ini selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berkata Washington akan mengambil segala tindakan diperlukan untuk menjamin keselamatan di Timur Tengah ekoran peningkatan ketegangan susulan serangan terhadap kapal tangki minggu lalu.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 27 cent atau 0.4 peratus kepada AS$62.28 setong pada 0040 GMT. Ia menokok 1.1 peratus pada Jumaat.

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) turut meningkat 18 cent atau 0.4 peratus kepada AS$52.69 setong. Ia meningkat 0.4 peratus pada sesi sebelumnya.

Harga melonjak sehingga 4.5 peratus pada Khamis selepas insiden serangan dua kapal tangki berhampiran Iran dan Selat Hormuz.

Ia adalah serangan kedua bulan ini di zon terpenting bagi bekalan minyak selepas peningkatan ketegangan antara AS dan Iran.

Washington menyalahkan Iran bagi serangan pada Khamis, yang mendorong penafian dan kritikan dari Tehran.

“Kami tidak mahu berperang. Kami melakukan apa yang perlu,” kata Pompeo dalam satu temubual bersama Fox News Sunday.

Beliau menambah, “Iran harus memahami dengan jelas bahawa kami akan terus mengambil tindakan untuk menghalang mereka daripada terbabit dengan perkara sedemikian.”

- Reuters

Berita Harian X