Selasa, 11 Jun 2019 | 1:04pm
KETUA Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Nilai jualan perdagangan borong, runcit meningkat

PUTRAJAYA: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit di negara ini merekodkan pertumbuhan 5.3 peratus bagi April 2019, berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu disumbangkan oleh perdagangan runcit yang berkembang 6.3 peratus.

Katanya, ia dipacu oleh jualan runcit makanan, minuman dan tembakau serta jualan runcit di kedai bukan pengkhususan, dengan catatan masing-masing sebanyak 8.8 peratus dan tujuh peratus.

“Bagi subsektor perdagangan borong, nilai jualan meningkat 5.3 peratus berbanding setahun lalu, manakala kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 2.2 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena penerbitan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit bagi April 2019 dikeluarkan Jabatan Perangkaan yang memaparkan statistik nilai jualan dan indeks volum bagi perdagangan borong dan runcit mengikut subsektor.

Dr Mohd Uzir bagaimanapun berkata, bagi prestasi nilai jualan perdagangan borong dan runcit berbanding Mac 2019, ia merosot sebanyak empat peratus.

“Semua subsektor mengalami pertumbuhan negatif pada April 2019, terutama subsektor perdagangan runcit yang menyusut 4.7 peratus.

“Pada tempoh sama, subsektor perdagangan borong dan kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan negatif masing-masing 3.8 dan dua peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit menokok 4.9 peratus berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh perdagangan runcit dengan 6.9 peratus, diikuti kenderaan bermotor yang mencatat pertumbuhan 3.5 peratus dan perdagangan borong sebanyak 3.3 peratus,” katanya.

Berita Harian X