Khamis, 30 Mei 2019 | 7:39am

Wall Street terus merosot

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) susut, dengan S&P 500 dan Nasdaq ditutup hanya sedikit di atas paras sokongan utama, berikutan kebimbangan perang perdagangan AS-China yang panjang akan merencatkan pertumbuhan global mendorong pelabur melabur dalam bon kerajaan yang lebih selamat.

Ketegangan perdagangan antara kedua-dua ekonomi terbesar di dunia itu menunjukkan sedikit tanda-tanda ia bertambah baik dengan mana surat khabar China memberi amaran bahawa Beijing boleh menggunakan elemen nadir bumi untuk membuat serang balas selepas Presiden Donald Trump menyatakan pada Isnin bahawa beliau "belum bersedia" untuk membuat perjanjian dengan China berhubung perdagangan.

Nadir bumi adalah sekumpulan 17 unsur kimia yang digunakan dalam segala hal daripada elektronik pengguna berteknologi tinggi kepada peralatan ketenteraan.

Menambahkan lagi kebimbangan, Huawei Technologies Co Ltd China memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kerajaan AS pada Selasa bagi mencabar sekatan dikenakan Washington itu.

"Ia adalah perdagangan dan kesan perdagangan. Masalahnya sekarang adalah apa yang saya sebut sebagai 'hasil yang tidak dapat dijangka', maka tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang akan berlaku," kata Sam Stovall, ketua strategi pelaburan di CFRA Research New York.

"Apa yang kita tahu ialah retorik yang semakin panas berhubung perdagangan dan jika tidak berhati-hati kita berakhir dalam perang perdagangan yang pasti akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan mungkin mendorong kita ke dalam kemelesetan," katanya.

Setiap indeks utama saham AS mengalami penurunan keempat dalam lima sesi. S&P turun 5.5 peratus daripada penutup 30 April. Bagaimanapun, kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq berjaya menutup sedikit di atas purata pergerakan 200 hari, yang dilihat sebagai tahap sokongan utama.

Semua 11 sektor utama S&P utama berada dalam wilayah negatif, dengan utiliti paling buruk.

Dow Jones Industrial Average susut 221.36 mata atau 0.87 peratus kepada 25,126.41.

S&P 500 turun 19.37 mata atau 0.69 peratus kepada 2,783.02.

Nasdaq Composite turun 60.04 mata atau 0.79 peratus kepada 7,547.31.

Dow Jones Industrial Average ditutup pada paras terendah sejak 11 Februari, manakala S&P dan Nasdaq mengakhiri sesi pada tahap penutupan paling rendah dalam tempoh hampir tiga bulan.

Sejumlah 7.31 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.04 bilion purata 20 sesi dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X