Rabu, 29 Mei 2019 | 8:28pm

Bursa Malaysia terus meningkat hari kedua berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran harga meningkatnya buat hari kedua berturut-turut hari ini, disokong oleh sentimen pasaran yang lebih baik dengan pelabur mengambil kira pendapatan korporat yang baik.

Pada penutupan, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.10 mata kepada 1,623.67 selepas dibuka 0.11 mata lebih tinggi pada 1,614.68.

Indeks bergerak antara 1,611.48 dan 1,626.64 di sepanjang hari.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 441 berbanding 405, manakala 339 kaunter tidak berubah, 767 tidak diniagakan dan 74 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.95 bilion unit bernilai RM1.83 bilion berbanding 2.40 bilion unit bernilai RM4.52 bilion pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasaran menunjukkan prestasi yang baik hari ini meskipun prestasi turun naik di pasaran saham global.

“Ia masih dalam pemulihan teknikal dari kedudukan terlebih jual, namun kami berhati-hati sama ada keadaan semasa ini akan bertahan dan memberikan sokongan kepada bursa,” katanya.

Beliau berkata TNB telah menaikkan indeks penanda aras hari ini susulan penyiaran keputusan suku pertama (Q1) 2019 semalam.

“TNB menyokong indeks walaupun keuntungan bersihnya merosot, namun prestasi operasinya kukuh,” katanya.

Keuntungan bersih Q1 TNB susut 26.56 peratus tahun ke tahun atau RM562.9 juta kepada RM1.56 bilion. Kumpulan itu bagaimanapun melaporkan keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM2.5 bilion pada Q1 2019 berbanding RM697.0 juta pada suku sebelumnya.

Pada penutupan hari ini, TNB naik 66 sen kepada RM12.32, dengan 17.70 juta saham didagangkan.

Bagi saham wajaran tinggi lain, IHH menambah 14 sen kepada RM5.50, Petronas Gas naik 48 sen kepada RM16.82, Press Metal menokok 21 sen kepada RM4.45 manakala Digi meningkat sembilan sen kepada RM4.81.

Bagi saham aktif, Ekovest menambah 4.5 sen kepada 77.5 sen, warannya naik lima sen kepada 26 sen, Bumi Armada meningkat setengah sen kepada 20 sen dan IWCity menokok 9.5 sen kepada 82 sen.

Indeks FBM Emas menambah 43.22 mata kepada 11,368.24 manakala FBMT 100 meningkat 45.03 mata kepada 11,226.28.

Indeks FBM Emas Shariah naik 99.81 mata kepada 11,555.56, Indeks FBM Ace meningkat 23.18 mata kepada 4,291.47, namun FBM 70 turun 17.59 mata kepada 13,814.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 27.45 mata kepada 16,612.70, Indeks Perladangan susut 33.90 mata kepada 6,827.30 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.05 mata kepada 60.14.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.39 bilion saham bernilai RM1.74 bilion daripada 1.79 bilion saham bernilai RM4.41 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 278.73 juta unit bernilai RM47.71 juta daripada 324.88 juta unit bernilai RM69.1 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 282.49 juta saham bernilai RM46.98 juta daripada 279.72 juta saham bernilai RM41.55 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 192.99 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (209.43 juta), pembinaan (294.21 juta), teknologi (96.51 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (45.14 juta) 147.27 juta), perladangan (16.06 juta), REITs (13.94 juta), dana tertutup (31,900), tenaga (272.5 juta), penjagaan kesihatan (29.19 juta), telekomunikasi dan media (25.96 juta) dan utiliti (27.63 juta).

– BERNAMA

Berita Harian X