Isnin, 13 Mei 2019 | 1:50pm
Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.80 mata kepada 1,604.47 daripada 1,610.55 pada pembukaan. - Foto hiasan
Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.80 mata kepada 1,604.47 daripada 1,610.55 pada pembukaan. - Foto hiasan

Bursa ditutup rendah tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah pada akhir dagangan pagi, selari prestasi kebanyakan saham Asia, terjejas susulan kebimbangan terhadap ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin meningkat selepas AS menaikkan tarif ke atas AS$200 bilion nilai barangan China.

Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.80 mata kepada 1,604.47 daripada 1,610.55 pada pembukaan.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 645 berbanding 115, manakala 244 kaunter tidak berubah, 905 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.14 bilion saham bernilai RM566.72 juta.

AmBank Research percaya pasaran mungkin sudah bersedia untuk kembali meningkat, sekali gus mengekalkan sasaran FBM KLCI pada 1,820 mata pada akhir tahun.

"Seperti Kelab Bola Sepak Liverpool mengecewakan Futbal Club Barcelona apabila menjaringkan empat gol di Anfield pada pusingan kedua untuk memenangi separuh akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 4-3, selepas ketinggalan tiga gol pada pusingan pertama di Camp Nou," katanya dalam nota penyelidikan.

Ambank Research berkata, pasaran akan disokong oleh keputusan Beijing untuk mengelak perang perdagangan sepenuhnya dengan AS, selain kebimbangan yang semakin berkurangan terhadap tanggapan bahawa gabungan pemerintah sudah kehilangan sokongan rakyat, berikutan kemenangan calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan.

Pasaran turut menyaksikan peningkatan tawaran awam permulaan Malaysia dan cadangan penggabungan antara Axiata dan Digi.Com, sebagai antara pemangkin positif utama yang menyokong pasaran.

AmBank Research berkata, pasaran terjejas berikutan kebimbangan berterusan terhadap pengaliran keluar modal susulan FTSE Russell meletakkan Malaysia pada senarai tumpuannya untuk kemungkinan mengeluarkannya daripada Indeks Bon Kerajaan FTSE Dunia, penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia selain peningkatan ketegangan perdagangan membabitkan AS-China.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.96, Petronas Chemicals turun enam sen pada RM8.83, Public Bank naik dua sen kepada RM22.28 manakala Tenaga dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM11.80 dan RM5.12.

Bagi saham aktif, Bumi Armada dan Lambo masing-masingsusut satu sen kepada 19 sen dan tujuh sen, manakala Tiger Synergy tidak berubah pada empat sen.

Indeks FBM Emas merosot 58.19 mata kepada 11,316.77, Indeks FBMT 100 turun 50.38 mata kepada 11,154.67 manakala Indeks Syariah FBM Emas turun 77.95 mata kepada 11,472.48.

FBM 70 susut 103.84 mata kepada 13,975.21, FBM Ace turun 93.05 mata kepada 4,439.52.

Mengiktu sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 43.77 mata kepada 16,522.41, Indeks Perladangan susut 43.19 mata kepada 7,007.09 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.46 mata pada 165.22. - BERNAMA

Berita Harian X