Khamis, 9 Mei 2019 | 10:32am

Brent AS$69.92 setong

SEOUL: Harga minyak jatuh hari ini ekoran peningkatan mengenai perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China, walaupun terdapat kejatuhan mengejutkan dalam stok minyak mentah AS.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$69.92 setong pada 0102 GMT, susut 44 cent atau 0.63 peratus daripada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$61.67 setong, susut 45 cent atau 0.72 peratus berbanding penutup sebelumnya.

Perang dagang Sino-AS menjejaskan harga minyak mentah minggu ini selepas ketegangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu boleh memberi kesan kepada pertumbuhan global.

Semalam, Presiden AS, Donald Trump, berkata China menjejaskan perjanjian dengan Washington dan ia bakal berdepan dengan tarif besar jika tiada perjanjian dimuktamadkan.

Tarif lebih tinggi dijangka bermula Jumaat ini, ketika Timbalan Perdana Menteri China, Liu He mengadakan lawatan ke Washington bermula Khamis.

Walaupun begitu, harga minyak disokong oleh petanda bekalan global yang ketat disebabkan langkah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pakatannya termasuk Russia mengurangkan bekalan.

Kedua-dua penanda aras meningkat lebih 30 peratus setakat ini.

- Reuters

Berita Harian X