Jumaat, 3 Mei 2019 | 7:55am
PENGERUSI Rizab Persekutuan Jerome Powell. - Foto Reuters
PENGERUSI Rizab Persekutuan Jerome Powell. - Foto Reuters

Wall Street merosot

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) susut semakin jauh daripada rekod tertinggi baru-baru ini apabila saham berkaitan tenaga jatuh bersama-sama penyusutan harga minyak dan pelabur terus mencerna komen Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell.

Indeks tenaga turun paling besar dalam kalangan sektor utama S&P, susut 1.71 peratus.

Harga minyak AS merosot lebih dua peratus berikutan kebimbangan lebihan bekalan.

Ulasan Powell Rabu lalu bahawa kemerosotan inflasi pada tahun ini mungkin disebabkan oleh faktor sementara yang mana ia melemahkan harapan pelabur bahawa bank pusat AS akan mengurangkan kadar faedah tahun ini.

Dow Jones Industrial Average turun 122.35 mata atau 0.46 peratus kepada 26,307.79.

S&P 500 turun 6.21 mata atau 0.21 peratus kepada 2,917.52.

Nasdaq Composite turun 12.87 mata atau 0.16 peratus kepada 8,036.77.

Dengan musim penerbitan laporan suku tahun pertama yang menghampiri penghujungnya, pelabur mencari pemangkin baharu seperti perkembangan perdagangan AS dan China, dan data ekonomi.

Pasaran juga menunggu bacaan data gaji bukan ladang Jabatan Buruh lewat hari ini yang dijangka menunjukkan penambahan pekerjaan yang lebih sedikit bulan lalu berbanding Mac.

Lebih daripada 350 syarikat S&P 500 melaporkan keputusan kewangan suku pertama masing-masing.

Penganalisis sekarang menjangka pendapatan meningkat 0.7 peratus, berbanding penyusutan dua peratus yang dianggarkan pada awal April, demikian menurut data IBES dari pada Refinitiv.

Jumlah dagangan pada bursa AS ialah 7.31 bilion saham, berbanding 6.61 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X