Khamis, 2 Mei 2019 | 8:36pm

FBM KLCI susut ekoran jualan besar-besaran

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah dengan indeks petunjuk pasaran itu susut 0.61 peratus berikutan jualan besar-besaran dalam saham mewah terpilih, terutama dalam kalangan saham perladangan dan perbankan.

Ini disebabkan oleh kebimbangan berita India menaikkan harga import asas minyak sawit mentah (MSM) serta keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk mengekalkan kadar faedah stabil, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.05 mata kepada 1,632.24 daripada paras penutup 1,642.29 pada Selasa.

Selepas dibuka naik 0.17 mata kepada 1,642.46, indeks tempatan berada antara paras 1,631.27 dan 1,644.35 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti Hari Pekerja.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata penjualan besar-besaran di Bursa Malaysia mungkin juga disebabkan oleh pelaksanaan kitaran penjelasan dua hari (T+2) bagi dagangan sekuriti yang mengurangkan minat belian dalam kalangan pelabur runcit.

“Mereka yang membeli saham sebelum 29 April, perlu menjualnya hari ini kerana skim T+2 diselesaikan hari ini (2 Mei),” katanya kepada Bernama.

Skim T+2 itu, yang bertujuan memendekkan kitaran penyelesaian akan mengurangkan risiko, meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan daya saing pasaran dan meningkatkan penyelarasan global.

Sementara itu, Pong berkata langkah India untuk meningkatkan harga import asas MSM sebanyak AS$5 kepada AS$545 satu tan memberi kesan kepada kaunter perladangan di mana kebanyakan syarikat minyak sawit mencatatkan penurunan harga saham.

Dalam kalangan saham perladangan, United Plantation adalah saham paling rugi utama, turun 50 sen kepada RM26.20.

IOI Corporation berkurangan lima sen kepada RM4.46, Sime Darby Plantation turun lapan sen kepada RM5.08 dan KL Kepong jatuh empat sen kepada RM24.70.

Bagi kaunter bank, Public Bank turun dua sen kepada RM22.48, CIMB Group susut empat sen kepada RM5.23, RHB Bank berkurangan satu sen kepada RM5.95 dan Hong Leong Financial Group jatuh 20 sen kepada RM19.02.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB tidak berubah pada RM9.25 dan RM12.28, manakala Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM8.95.

Dalam kalangan saham yang diniagakan cergas, Lambo Group naik setengah sen kepada 10 sen, Ekovest turun 5.5 sen kepada 82.5 sen dan Bumi Armada berkurangan 1.5 sen kepada 22.0 sen.

Indeks FBM Emas Index turun 78.19 mata kepada 11,573.65, FBMT 100 susut 74.31 mata kepada 11,394.94 dan FBM 70 berkurangan 111.12 mata kepada 14,467.69.

Indeks FBM Emas Shariah turun 111.67 mata kepada 11,725.38 dan Indeks FBM Ace susut 38.57 mata kepada 4,604.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 47.98 mata kepada 16,914.72, Indeks Perladangan susut 74.74 mata kepada 7,205.93, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.85 mata kepada 169.08.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 669 berbanding 225, dengan 348 kaunter tidak berubah, 645 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik sedikit kepada 2.68 bilion saham bernilai RM1.95 bilion daripada 2.36 bilion saham bernilai RM2.25 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.91 bilion saham bernilai RM1.80 bilion berbanding 1.73 bilion saham bernilai RM2.11 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran naik kepada 347.54 juta unit bernilai RM86.49 juta daripada 309.16 juta unit bernilai RM74.44 juta pada Selasa.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 414.73 juta saham bernilai RM62.67 juta daripada 323.97 juta saham bernilai RM66.48 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 237.04 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (357.09 juta), pembinaan (324.20 juta), teknologi (108.67 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (40.68 juta), hartanah (177.61 juta), perladangan (25.29 juta), REITs (8.45 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (481.02 juta), penjagaan kesihatan (30.66 juta), telekomunikasi dan media (43.46 juta), pengangkutan dan logistik (40.87 juta) dan utiliti (31.64 juta).- BERNAMA

Berita Harian X