Jumaat, 12 April 2019 | 7:55am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: S&P 500 ditutup mencatat perubahan kecil, dengan mana kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kelembapan ekonomi global membayangi data ekonomi memberangsangkan, manakala pelabur menunggu musim pelaporan korporat.

Nasdaq dan Dow ditutup lebih rendah, dengan stok penjagaan kesihatan menarik turun kesemua tiga indeks utama saham Amerika Syarikat (AS).

Tuntutan pengangguran turun minggu lalu ke paras terendah sejak 1969, sementara pada Mac, harga pengeluar mencatat kenaikan terbesar sejak Oktober, demikian menurut laporan berasingan dari Jabatan Buruh AS.

Data optimis dapat meredakan kebimbangan berhubung kelembapan ekonomi global, kebimbangan yang ditunjukkan dalam minit mesyuarat Rizab Persekutuan Mac yang dikeluarkan Rabu.

Berikutan bermulanya musim pelaporan korporat, penganalisis mengunjurkan keuntungan suku pertama S&P 500 susut 2.5 peratus tahun ke tahun, penguncupan pertama sejak 2016.

Dow Jones Industrial Average turun 14.11 mata, atau 0.05 peratus, kepada 26,143.05.

S&P 500 ditutup mendatar pada 2,888.32.

Nasdaq Composite turun 16.89 mata atau 0.21 peratus kepada 7,947.36.

Daripada 11 sektor utama S&P 500, tujuh ditutup dalam wilayah positif.

Saham penjagaan kesihatan menerajui penyusutan indeks, turun 1.2 peratus sehari selepas Senator Bernie Sanders memperkenalkan pelan "Medicare for All" kepada Kongres.

Sejumlah 6.00 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.17 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X