Rabu, 10 April 2019 | 8:05am
Industri sensitif perdagangan mengheret turun Wall Street berikutan ketegangan berhubung tarif antara Amerika Syarikat dan rakan perdagangan Eropahnya semakin memuncak. - Foto fail AP
Industri sensitif perdagangan mengheret turun Wall Street berikutan ketegangan berhubung tarif antara Amerika Syarikat dan rakan perdagangan Eropahnya semakin memuncak. - Foto fail AP

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: Industri sensitif perdagangan mengheret turun Wall Street berikutan ketegangan berhubung tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan rakan perdagangan Eropahnya semakin memuncak, sementara Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) merendahkan prospek pertumbuhan global.

Ketiga-tiga indeks utama saham AS ditutup dalam wilayah negatif, dengan S&P 500 mengakhiri rali lapan hari.

Presiden Donald Trump, berkata beliau akan mengenakan tarif ke atas barangan Eropah bernilai AS$11 bilion, meningkatkan ketegangan berhubung subsidi diberikan kepada pengeluar pesawat Airbus yang mengancam kedua-dua ekonomi itu ke kancah perang perdagangan yang serius.

"Tarif Eropah mengejutkan orang ramai, sedang mana kita berusaha menangani isu (perdagangan) China," kata Peter Tuz, Presiden Chase Investment Counsel di Charlottesville, Virginia.

Perselisihan perdagangan, Brexit, antara faktor yang menjurus IMF merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi global dan memberi amaran bahawa pemotongan lebih lanjut mungkin menyusuli.

Dow Jones Industrial Average turun 190.44 mata atau 0.72 peratus kepada 26,150.58.

S&P 500 turun 17.57 mata atau 0.61 peratus kepada 2,878.2.

Nasdaq Composite turun 44.61 mata atau 0.56 peratus kepada 7,909.28.

Daripada 11 sektor utama dalam S&P 500, semua kecuali utiliti dan perkhidmatan komunikasi mengakhiri sesi dalam wilayah negatif.

Sektor perindustrian mencatatkan penyusutan terbesar, susut 1.4 peratus.

Boeing Co meneruskan penurunan selepas melaporkan penyusutan penghantaran berkaitan pesawat 737 MAX yang direhatkan di seluruh dunia. Sahamnya jatuh 1.5 peratus.

Sejumlah 6.31 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.26 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X