Jumaat, 5 April 2019 | 7:44am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

S&P 500, Dow menokok

NEW YORK: Indeks penanda aras S&P 500 menokok, mendekati paras tertinggi enam bulan, dengan kerugian dalam saham teknologi diimbangi oleh kenaikan Boeing Co dan Facebook Inc ketika mana pelabur menunggu pencerahan berhubung rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Rundingan diteruskan di Washington selepas mesyuarat minggu lalu di Beijing, ketika mana kedua-dua negara itu berusaha untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan yang berpanjangan, yang membayangi pertumbuhan ekonomi global.

Presiden Donald Trump dijadual bertemu Naib Perdana Menteri Liu He, yang mengetuai pasukan China dalam rundingan itu.

Harapan perjanjian perdagangan yang berjaya membantu menaikkan S&P 500 pada suku kedua.

Ia mencecah paras tertinggi sejak 9 Oktober dan hanya 1.75 peratus di bawah paras penutupan tertingginya.

Juga membantu sentimen pelabur ialah data Jabatan Buruh AS yang menunjukkan bahawa tuntutan pengangguran jatuh ke paras terendah 49 tahun minggu lalu, menunjuk kepada pasaran buruh yang mampan.

"Anda melihat nombor tuntutan pengangguran, anda melihat potensi kemajuan dalam perjanjian perdagangan," kata Shannon Saccocia, Ketua Pegawai Pelaburan di Boston Private.

Pelabur akan mendapat gambaran lebih jelas berhubung pasaran buruh AS pada Jumaat, apabila laporan gaji bukan ladang dikeluarkan.

Dow Jones Industrial Average meningkat 166.5 mata atau 0.64 peratus kepada 26,384.63.

S&P 500 naik 5.99 mata atau 0.21 peratus kepada 2,879.39.

Nasdaq Composite turun 3.77 mata atau 0.05 peratus kepada 7,891.78.

Tujuh daripada 11 sektor utama S&P menokok lebih tinggi. Sebaliknya, sektor teknologi jatuh 0.4 peratus.

Kenaikan saham Facebook dan Boeing membantu menolak naik S&P 500.

Sejumlah 6.33 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.37 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X