Rabu, 3 April 2019 | 9:54am

Minyak naik untuk hari keempat

TOKYO: Harga minyak naik untuk hari keempat Rabu, meskipun laporan industri menunjukkan bahawa inventori Amerika Syarikat (AS) meningkat secara tidak dijangka minggu lalu, dengan pemotongan bekalan dan sekatan ekonomi menyokong pasaran.

Niaga hadapan Brent meningkat 22 sen, atau 0.3 peratus, kepada AS$69.59 satu tong pada 0028 GMT, selepas mencecah AS$69.68, tertinggi sejak 13 November.

Penanda aras global itu ditutup setengah peratus lebih tinggi pada Selasa.

Minyak mentah West Texas Intermediate naik enam sen, atau 0.1 peratus, kepada AS$62.64 satu tong.

Semalam, kontrak itu naik 1.61 peratus, untuk ditutup pada AS$62.58 satu tong, selepas mencecah AS$62.75, tahap tertinggi sejak 7 November.

"Dengan pengeluaran jatuh bagi bulan keempat susulan pemotongan pengeluaran oleh OPEC dan sekatan yang berterusan ke atas Iran dan Venezuela, harga minyak disokong dengan baik," kata Fiona Cincotta, penganalisis pasaran kanan di Cityindex dalam satu nota.

"Dari aspek permintaan, berkurangnya kebimbangan terhadap ekonomi yang perlahan juga menawarkan sokongan," katanya.

Bekalan dari Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencecah paras terendah dalam tempoh empat tahun pada Mac, demikian menurut kajian Reuters.

Tiga daripada lapan negara yang diberikan pengecualian oleh Washington untuk mengimport minyak dari Iran telah mengurangkan import ke sifar, kata pegawai AS, sambil menambah bahawa keadaan pasaran minyak global yang lebih baik akan membantu mengurangkan lagi eksport minyak Iran.

"Pada November, kami memberikan lapan pelepasan bagi mengelakkan kenaikan harga minyak. Saya dapat mengesahkan hari ini bahawa tiga daripada pengimport kini berada di paras sifar," kata Brian Hook, utusan khas AS bagi Iran, kepada pemberita, tanpa mengenal pasti negara terbabit.

Naib Presiden Mike Pence, berkata AS akan terus menekan industri minyak Venezuela dan mereka yang menyokongnya dengan sekatan ekonomi, memetik harga minyak dunia sebagai cukup rendah untuk membolehkan langkah-langkah itu. - Reuters

Berita Harian X