Rabu, 3 April 2019 | 7:57am

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) susut menyaksikan penurunan saham Walgreens Boots Alliance Inc yang menarik turun indeks S&P 500 dan Dow Jones Industrial Average, manakala data ekonomi hanya memberi kesan kecil dalam melegakan kebimbangan berhubung pertumbuhan ekonomi.

Saham Walgreens turun 12.6 peratus selepas rantaian kedai ubat itu mengurangkan unjuran pertumbuhan keuntungan 2019 dan melaporkan keuntungan suku tahunan yang tersasar.

Penyusutan dalam Walgreens memberi kesan ketara kepada ketiga-tiga indeks utama Wall Street.

Bagaimanapun, Nasdaq bergerak lebih tinggi, berikutan saham Facebook Inc yang melonjak 3.3 peratus.

Data menunjukkan bahawa pesanan baharu bagi barangan modal buatan AS susut pada Februari dan penghantaran mendatar.

Tempahan bagi barangan modal bukan pertahanan tidak termasuk pesawat, atau tempahan barangan modal teras, susut 0.1 peratus. Ahli ekonomi yang ditinjau Reuters meramalkan ia tidak berubah.

Data itu tiba bila mana kaji selidik menunjukkan lantunan di luar jangkaan dalam aktiviti pembuatan China dan angka yang lebih baik daripada jangkaan di AS, yang menggerakkan S&P 500 hingga hampir ke paras tertinggi enam bulan pada Isnin.

Dow Jones Industrial Average susut 85.81 mata atau 0.33% kepada 26,172.61.

S&P 500 turun 0.71 mata atau 0.02 peratus kepada 2,866.48.

Nasdaq Composite menambah 15.60 mata atau 0.2 peratus kepada 7,844.51.

Walaupun mendapat tekanan, S&P 500 hanya 2.2 peratus di bawah rekod penutupan tinggi akhir September apabila Rizab Persekutuan menghentikan kenaikan kadar faedah dan pelabur optimistik berhubung resolusi terhadap pertikaian perdagangan AS-China.

Sejumlah 6.45 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.46 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X