Isnin, 1 April 2019 | 10:20am

Brent naik 34 cent kepada AS$67.92 setong

TOKYO: Harga minyak meningkat hari ini, menambah keuntungan pada suku tahun pertama apabila penanda aras utama mencatat peningkatan terbesar dalam tempoh hampir sedekad.

Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk penghantaran Jun naik 34 cent atau 0.5 peratus kepada AS$67.92 setong pada 0055 GMT, sekali gus mencatat kenaikan 27 peratus pada suku pertama tahun ini.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) menokok 30 cent atau 0.5 peratus kepada AS$60.44 setong selepas meningkat 32 peratus bagi tempoh Januari-Mac.

Sekatan AS ke atas Iran dan Venezuela serta pemotongan bekalan oleh ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar utama lain membantu menyokong harga tahun ini, membayangi kebimbangan berhubung pertumbuhan global dan perang dagang AS-China.

Perjanjian antara OPEC dan sekutunya seperti Russia untuk mengurangkan pengeluaran sekitar 1.2 juta tong sehari (bpd) yang secara rasminya bermula pada Januari juga menyokong harga komoditi itu.

Jumlah pengeluaran AS juga kukuh sejak pertengahan Februari dengan kerajaan AS melaporkan pengeluaran domestik di negara pengeluar minyak mentah terbesar dunia lebih rendah pada Januari kepada 11.9 juta bod.

Minggu lalu, firma tenaga AS mengurangkan jumlah operasi pelantar minyak kepada tahap paling rendah dalam tempoh hampir setahun, pengurangan jumlah pelantar suku tahun paling banyak dalam tempoh tiga tahun, kata firma perkhidmatan tenaga, Baker Hughes.

- Reuters

Berita Harian X