Khamis, 21 March 2019 | 2:39pm

Minyak cecah tertinggi 2019

SINGAPURA: Harga minyak mencapai paras tertinggi 2019 hari ini di tengah-tengah pengurangan bekalan diterajui pengeluar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran dan Venezuela.

Niaga hadapan minyak mentah Brent mencecah paras tertinggi pada November 2018 iaitu pada AS$68.64 satu tong pada 0453 GMT, naik 14 sen, atau 0.2 peratus daripada penutupan terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) juga menyamai paras tertinggi November 2018 pada AS$60.27 satu tong hari ini.

Harga minyak mentah meningkat hampir sepertiga sejak permulaan 2019 susulan pengurangan bekalan diterajui OPEC, selain sekatan terhadap Iran dan Venezuela oleh AS.

Pengeluaran minyak mentah OPEC merosot daripada puncak 32.8 juta tong sehari pada pertengahan 2018 kepada 30.7 juta tong sehari Februari.

Sekatan AS juga mengganggu bekalan.

"Eksport Venezuela ke AS akhirnya berakhir, selepas sekatan dikenakan pentadbiran AS awal tahun ini," kata ANZ bank.

Eksport minyak Iran juga merosot.

AS mensasar mengurangkan eksport minyak mentah Iran sebanyak 20 peratus ke bawah satu juta tong sehari mulai Mei dengan mengharuskan negara pengimport mengurangkan pembelian untuk menghindari sekatan AS.

Stok minyak mentah AS minggu lalu jatuh hampir 10 juta tong, paling besar sejak Julai, didorong permintaan eksport dan penapisan yang kukuh, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga pada Rabu.

Simpanan jatuh 9.6 juta tong, kepada 439.5 juta tong, terendah sejak Januari. - Reuters

Berita Harian X